LKAN 2015 Siri 1: Enam Jawatankuasa Khas Siasat Empat Kementerian - Semasa | mStar

LKAN 2015 Siri 1: Enam Jawatankuasa Khas Siasat Empat Kementerian

PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, enam Jawatankuasa Siasatan Khas ditubuhkan bagi menyiasat 10 teguran punitif yang melibatkan empat kementerian dalam Laporan Ketua Audit Negara 2015 (LKAN) 2015 Siri 1.

Beliau berkata siasatan melibatkan empat kementerian iaitu Kementerian Kerja Raya, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Ali berkata siasatan ini bertujuan untuk memperoleh keterangan relevan dari aspek kesaksian dan keterlibatan pegawai dalam kes-kes yang dilaporkan dan sekiranya pegawai didapati salah laku atau kecuaian, maka tindakan tatatertib, surcaj, atau pertuduhan jenayah di mahkamah akan dikenakan.

Berdasarkan siaatan tersebut, dua teguran melibatkan Pengurusan Perolehan dan Perkhidmatan di Jabatan Pertahanan Awam, JPM dan Pelaksanaan Sistem Imigresen Malaysia (myIMMs), KDN mempunyai asas untuk dimulakan prosiding tatatertib yang melibatkan enam pegawai (empat pegawai Gred pangkat 48 ke atas dan dua lagi Gred 44 ke bawah).

Lapan teguran didapati tiada unsur penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, salah laku atau kecuaian pelaksanaan tugas tetapi sebaliknya memerlukan penambahbaikan sistem, prosedur dan peraturan semasa, katanya dalam sesi bersama media susulan LKAN 2015 Siri 1 di Auditorium Kompleks E di sini, Selasa. 

Bagi 33 teguran yang melibatkan Badan Berkanun Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Syarikat Persekutuan, Ali berkata perkara ini akan dibawa oleh Jabatan Audit Negara ke peringkat Jawatankuasa Tindakan Laporan Ketua Audit Negara untuk menentukan bentuk tindakan yang akan diambil.

LKAN 2015 Siri 1 dibentangkan di Parlimen pada 18 Mei lalu dan ia terdapat dua bentuk teguran iaitu teguran 'corrective' yang melibatkan penambahbaikan sistem dan prosedur manakala teguran punitif melibatkan penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, salah laku atau kecuaian pelaksanaan tugas. 

Dalam Laporan Siri 1, Ali berkata terdapat 751 teguran iaitu 708 teguran corrective (94.3 peratus) dan 43 teguran punitif (5.7 peratus) melibatkan empat kementerian, Badan Berkanun Persekutuan (dua), Kerajaan Negeri (tujuh) dan Syarikat Persekutuan (dua). 

Bagi 708 teguran corrective, beliau berkata 280 teguran atau 39.5 peratus telah selesai diambil tindakan penambahbaikan oleh kementerian/agensi yang berkenaan manakala 428 teguran (60.5 peratus) masih dalam tindakan kerana teguran-teguran berkenaan memerlukan masa untuk dibuat tindakan pembetulan/penambahbaikan oleh kementerian/agensi yang terlibat. 

Status tindakan ini dipantau melalui Dashboard Jabatan Audit Negara, katanya. 

Ali berkata kerajaan tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang bentuk penyelewengan dan salah laku dan akan memastikan tindakan tegas diambil. 

Dalam LKAN 2014 yang terdapat 49 teguran punitif, beliau berkata 99 pegawai dimulakan prosiding tatatertib/siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malayia (SPRM) dan daripada itu, 15 pegawai diputuskan hukuman Lembaga Tatatertib yang meliputi hukuman amaran hingga turun pangkat dan 20 pegawai sedang dalam proses penentuan kes/hukuman. 

Seramai 64 pegawai didapati tidak bersalah dan dibebaskan oleh lembaga tatatertib berkenaan, termasuk 16 pegawai awam yang bersara daripada perkhidmatan awam yang tidak membolehkan tindakan tatatertib diambil melainkan ia melibatkan kes jenayah, katanya sambil menambah bahawa ia juga bukan kes SPRM.

Berdaarkan LKAN 2012 hingga 2014, tiga kes masih dalam siasatan SPRM manakala 147 pegawai termasuk empat pegawai Jawatan Utama Sektor Awam (Jusa) diambil tindakan tatatertib/surcaj oleh Lembaga Tatatertib yang meliputi hukuman amaran sehingga buang kerja. 

Sementara itu, Ali berkata Ketua Setiausaha (KSU) setiap kementerian perlu memperbaiki dan memperkemas sistem serta proses berdasarkan teguran dalam LTAN.

Sebagai Ketua Pengawal Kewangan, beliau berkata semua KSU terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam pengurusan peruntukan di kementerian masing-masing, namun teguran dalam LKAN menunjukkan pegawai-pegawai terlibat dalam kes-kes dilaporkan dan tiada arahan terus KSU. 

Ini tidak menyatakan KSU bebas daripada segala tanggungjawab. KSU perlu mencari jalan bagaimana memperbaiki dan memperkemas sistem serta proses dalam kementerian berdasarkan dapatan LKAN, katanya.

Mengenai pengauditan forensik ke atas Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan agensi-agensi di bawahnya oleh Jabatan Audit Negara susulan laporan isu penyelewengan dananya pada Mac lalu, Ali berkata ia sudah selesai. 

Beliau berkata pertama, kerajaan akan melihat semula kawalan kewangan dan proses kewangan KBS dari segi aspek pengagihan peruntukan dan pembayaran selain memastikan penempatan pegawai yang dipilih menjalani ujian integriti. 

Kedua, beliau berkata aspek tadbir urus perlu dipertingkatkan untuk menutup peluang dan ruang mana-mana pihak yang menyalahgunakan kedudukan untuk rundingan peribadi dan ketiga ialah kaedah pengurusan pelaksanaan geran atau dana yang lebih telus dan pematuhan kepada arahan kewangan, katanya. 
-- Bernama
LKAN , Ali Hamsa , KDN , Kementerian Kerja Raya , JPM

Artikel Berkaitan

Klik

default image

WKB 2030 fokus 9 kumpulan terpinggir, ketahui siapa mereka

PENGURUSAN polariti dalam WKB 2030 mengenal pasti sembilan kumpulan sasaran sebagai golongan terpinggir.

default image

Penggunaan air di Malaysia lebih tinggi daripada negara jiran? Jom kita jimat air!

ADAKAH penggunaan air kita setiap hari ke arah penjimatan atau pembaziran?

default image

15 prinsip tulang belakang untuk capai matlamat WKB2030

LIMA belas prinsip panduan digariskan berasaskan tiga aspek penting iaitu pembangunan untuk semua, menangani jurang kekayaan dan pendapatan serta negara bersatu, makmur dan bermaruah.

default image

Culas bayar cukai kena penalti 300 peratus, ketahui 10 fakta penting Program Khas Pengakuan Cukai Secara Sukarela

HANGAT diperkatakan mengenai isu melunaskan cukai dan masih ada yang culas untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pembayar cukai. 

default image

Pelan Pembangunan KL... inilah harapan warga kota

INFRASTRUKTUR dan pengurusan bandar yang lebih baik merupakan perkara teratas dalam senarai Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL) yang ingini penduduk Kuala Lumpur.

Artikel Lain