suria

Kuala Kangsar Tidak Akan Dilupakan - Ahmad Zahid

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kanan) menziarahi Puan Rahmah Abdullah (kiri), ibu kepada Anggota Parlimen Kuala Kangsar, Allahyarham Datuk Wan Muhammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, di kediamannya di Bukit Chandan, Isnin. Beliau meluangkan masa hampir dua puluh minit bersama keluarga Allahyarham Wan Muhammad Khair-il, antara yang terkorban dalam nahas helikopter di Sarawak awal bulan ini.

IPOH: Kuala Kangsar tidak akan dibiarkan ketinggalan, begitulah janji yang dibuat Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa penyelaras berkaitan pembangunan Kuala Kangsar.

"Keutamaan akan diberi untuk menyelesaikan tugas dan projek yang dirancang Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad sebelum meninggal dunia.

"Kami juga akan cuba menambah baik pembangunan sosio ekonomi penduduk pedalaman dan juga menambah kemudahan di kawasan penempatan Orang Asli.

"Kuala Kangsar tidak akan dibiarkan ketinggalan dalam pelbagai hal," katanya kepada pemberita di sini.

Ahmad Zahid berkata, semua permohonan projek oleh Wan Mohammad Khair-il Anuar dan Adun dalam kawasan Parlimen Kuala Kangsa akan diteliti dan disenaraipendek untuk tindakan susulan.

"Di peringkat Pusat pula, saya akan pastikan ia dilaksanakan.

"Bagaimanapun, jangan pula menganggap ia suatu janji politik tetapi ia adalah kesinambungan kepada jaminan yang telah dibuat pemimpin yang dipilih rakyat.

"Barisan Nasional juga tidak perlukan manifesto untuk pilihan raya kecil nanti kerana kita akan pastikan apa yang dijanjikan dapat dilaksanakan.

"Kami tidak mahu dilihat sebagai membeli undi," katanya.

Wan Mohammad Khair-il Anuar, yang juga Pengerusi Majlis Minyak Kelapa Sawit Malaysia (MPOB) adalah antara enam yang terkorban dalam tragedi helikopter terhempas di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu.

Turut terkorban adalah Ahli Parlimen Sungai Besar, Datuk Noriah Kasnon yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan pilihan raya kecil bagi kedua-dua kawasan dijalankan serentak pada 18 Jun ini.

Artikel Sebelum

Artikel Lain