suria

Powerbank Meletup Kejutkan Lelaki Daripada Tidur

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR: Seorang penolong penerbit sebuah stesen televisyen swasta berdepan detik cemas apabila 'powerbank' yang disimpan di dalam begnya meletup dan terbakar secara tiba-tiba di rumahnya di Bandar Kinrara, Isnin.

"Bunyi letupan kecil mengejutkan saya daripada tidur sebelum terhidu bau benda terbakar berhampiran hujung katil saya," kata Dominic Loke Kean Fong, 27, sambil memberitahu beliau bergegas bangun dan memadamkan api dengan air.

"Kejadian itu berlaku tiba-tiba, dan saya tak cas pun powerbank itu, hanya letak dalam beg sejak malam semalam," katanya ketika dihubungi Bernama.

Menurutnya, kejadian awal pagi itu turut menyebabkan sebahagian perabot bilik tidur rumahnya rosak akibat terbakar.

"Saya bersyukur kerana tidak meletakkan powerbank dan telefon bimbit di sebelah saya ketika tidur dan meletakkannya di hujung katil," kata Kean Fong.

Catatan Loke mengenai insiden itu di laman Facebook bertujuan memberi amaran kepada orang lain, telah menjadi viral.

Sementara itu, Timbalan Presiden Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia Dr Lee Nan Seng berkata pengguna harus mengenal pasti keaslian alat  itu sebelum membelinya. 

Beliau berkata powerbank tiruan boleh menjurus kepada alat itu mudah meletup dan terbakar berbanding barang asli.

"Sesiapa yang mengalami insiden serupa perlu membuat aduan kepada pihak relevan seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia," katanya.-- Bernama


powerbank, Bandar Kinrara

Artikel Lain