suria

Kerjasama SPRM Kedah, NACC Thailand Mampu Banteras Rasuah Rentas Sempadan

ALOR SETAR: Kerjasama antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Kebangsaan (NACC) Thailand diyakini mampu membanteras kegiatan rasuah rentas sempadan.

Pengarah SPRM Kedah, Datuk Mohd Fauzi Mohamad berkata kerjasama berkenaan  itu telah diwujudkan pada Oktober tahun lepas, selepas perjanjian persefahaman dimeterai antara kedua pihak pada 2012.

Beliau berkata menerusi kerjasama itu kedua-dua pihak akan membantu bagi mengesan saksi dan individu yang dikehendaki, yang melarikan diri ke luar negara bagi mengelak ditahan pihak berkuasa untuk tujuan siasatan.

"Setakat ini kita ada satu kes dengan meminta NACC di Songkhla (Selatan Thailand) bagi mengesan seorang wanita yang kini berada di Danok, Thailand bagi membantu siasatan berhubung satu kes berkaitan rasuah," katanya pada sidang media selepas menerima kunjungan delegasi dari NACC Thailand, di Pejabat SPRM Kedah di sini, Isnin.

Sejumlah 31 delegasi NACC menyertai lawatan itu yang diketuai Presiden NACC Wilayah Songkhla, Prof Madya Pairote Duangwiset.

Katanya perkara berkenaan dalam proses tindakan NACC, kerana SPRM tidak mempunyai kuasa untuk ke negara jiran itu bagi menangkap suspek atau saksi yang melarikan diri ke Thailand.

Mohd Fauzi berkata kerjasama seumpama itu dapat mempercepatkan proses siasatan kedua-dua pihak sekali gus dapat menyelesaikan pelbagai kes rasuah rentas sempadan.

Sementara itu, beliau berkata menerusi kerjasama tersebut NACC Thailand turut mempelajari bagaimana SPRM melakukan penguatkuasaan anti rasuah di negara ini untuk dipraktikkan di negara mereka.

"Mereka mahu masyarakat di negara itu memberi kerjasama membanteras rasuah seperti yang dilakukan di negara ini. Kita juga telah cadangkan kepada mereka untuk anjurkan pelbagai aktiviti bagi membanteras rasuah," katanya.-- Bernama

Artikel Lain