suria

Jasad Mendiang Dr Sundaran Tiba Di Pangkalan Udara Subang

Mayat Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komodit Mendiang Datuk Dr Sundaran Annamalai tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang tengah malam Sabtu. Foto Bernama

SUBANG: Jasad mendiang Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Sundaran Annamalai yang terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada Khamis tiba di Pangkalan Udara TUDM Subang, Sabtu malam.

Jasad mendiang tiba pada pukul 12 tengah malam dengan pesawat Charlie C130H melalui penerbangan dari Pangkalan Udara Kuching, Sarawak yang berlepas kira-kira 9.15 malam.

Sanak saudara dan sahabat handai yang berkumpul di perkarangan pangkalan udara itu diselubungi perasaan sedih dan pilu.

Antara kenamaan yang hadir bagi memberi penghormatan ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.

Jasad Sundaran akan dibawa ke kediaman mendiang di Jalan USJ 2/4Q, Subang Jaya untuk upacara penghormatan terakhir oleh waris keluarga dan sahabat.

Sundaran meninggalkan isteri Datin Talagavathi R. Karapayah dan dua orang anak.

Sundaran memulakan kariernya sebagai Ketua Seksyen (Pelbagaihala), Bahagian Analisa Ekonomi dan Antarabangsa, Kementerian Kewangan sebelum dilantik menjadi Ketua Sektor Fiskal dan Kewangan di kementerian sama pada 2008.

Lima mayat sudah ditemukan dalam tragedi helikopter itu di Sarawak Khamis lepas sementara pencarian seorang lagi mangsa akan diteruskan pada Ahad.

Selain mayat Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon ditemukan pada Jumaat, mayat kedua ditemukan pada 8.30 pagi Sabtu di tebing Sungai Batang Lupar kira-kira 15km dari tempat Noriah dijumpai.

Mayat ketiga ditemukan tengah hari Sabtu kira-kira satu kilometer daripada mayat Noriah sementara mayat keempat dikesan pada 3.20 petang juga berdekatan mayat Noriah, manakala mayat kelima ditemui 6 petang.

Identiti satu lagi mayat yang telah disahkan ialah Ahmad Sobri Harun, pengawal peribadi Noriah.

Turut berada dalam helikopter itu ialah suami Noriah, Asmuni Abdullah; Ahli Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad serta juruterbang Kapten Rudolf Rex Ragas. - Bernama

Dr Sundaran Annamalai

Artikel Lain