suria

DBKL Cadang Haram Polistirena Di Bukit Bintang

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Dalam usaha mewujudkan bandar raya hijau, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bercadang mengharamkan penggunaan bekas makanan diperbuat daripada polistirena di kawasan Bukit Bintang yang menjadi tumpuan orang ramai.

Pengarah Eksekutif Perancangan DBKL, Datuk Mohd Najib Mohd berkata pelaksanaannya dijangka dikuatkuasakan sebelum akhir tahun ini.

"Kita sedia maklum, bekas polistirena adalah bahan yang sukar dilupuskan dan memberi kesan buruk kepada alam sekitar selain menyukarkan lagi pengurusan sampah dan sisa pepejal," katanya.

Beliau berkata inisiatif itu juga adalah kesinambungan kepada pengharaman penggunaan bekas makanan polistirena yang dilaksanakan di kawasan Dataran Merdeka pada Julai tahun lepas.

"Pada masa ini, DBKL dengan kerjasama agansi-agensi lain berusaha menganjurkan pelbagai program seperti Kurangkan, Guna Semula dan Kitar Semula (3R) untuk memberi kesedaran dan pendidikan kepada warga kota," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Jom Bersih Bukit Bintang Siri 10, Sabtu.

Kira-kira 800 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta menyertai program gotong-royong membersihkan kawasan Bukit Bintang. - BERNAMA

DBKL, Bukit Bintang, polistirena

Artikel Lain