suria

PRN Sarawak: 39 Peratus Keluar Mengundi Sehingga 1 Tengah Hari

Abdul Taib mengundi bagi Pilihan Raya Negeri Ke-11 di Sekolah Kebangsaan Merpati Jepang pada Sabtu. -fotoBERNAMA

KUCHING: Sehingga 1 tengah hari, sebanyak 39 peratus pemilih berdaftar sudah keluar mengundi bagi memilih wakil rakyat mereka di 80 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11, Sabtu.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Hashim Abdullah ketika ditemui media di sebuah pusat pengundi di sini pagi Sabtu, berkata proses pengundian sehingga kini berjalan lancar, dan setakat 10.30 pagi, 13 pusat pengundian sudah ditutup.

Sementara itu, Pengarah SPR Sarawak Datuk Takun Suggah ketika dihubungi berkata satu kejadian koridor sekolah diperbuat daripada kayu yang dijadikan laluan pengundi, dilaporkan runtuh di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Annau, Tatau, kira-kira 70km dari Bintulu.

Beliau berkata kejadian kira-kira 10 pagi di sekolah yang dijadikan salah sebuah pusat pengundian bagi DUN Jepak itu, mengakibatkan kira-kira 40 pengundi terjatuh, dan seorang daripadanya dilaporkan cedera ringan.

Antara yang sudahpun mengundi sehingga kini ialah Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem di Sekolah Kebangsaan Merpati Jepang dalam kawasan DUN Satok di sini, dan juga Menteri Perumahan dan Pelancongan Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN Satok.

Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud, turut mengundi di tempat sama.

Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi yang juga calon BN Bukit Saban; Datuk Amar Douglas Uggah Emas pula mengundi di rumah panjang beliau di pusat pengundian di Rumah Wilson Begat Bakir, Penon, Ulu Paku, Betong.

Dalam pada itu, antara menteri persekutuan dari Sarawak yang sudahpun mengundi pagi Sabtu, ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Calon langsung BN bagi kawasan Bawang Assan Datuk Seri Wong Soon Koh dan Datuk Tiong Thai King (calon langsung BN DUN Dudong), juga sudah mengundi di Dewan SK St Rita, Sibu.

Bercakap kepada pemberita kemudian, kedua-dua calon berkenaan yakin mampu memenangi kerusi masing-masing. - BERNAMA

PRN Sarawak

Artikel Lain