suria

PRN Sarawak: Najib Nafi Dakwaan Kadar GST Dinaikkan

Najib Tun Razak.

KUCHING: Datuk Seri Najib Tun Razak membidas pemimpin pembangkang kerana mendakwa kerajaan akan menaikkan kadar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) jika Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Negeri Sarawak.

"Ini adalah satu pembohongan dan dakwaan ini tidak berasas," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Wisma Bapa di sini, Rabu.

Beliau berkata jemaah menteri tidak pernah berbincang untuk menaikkan kadar GST, sama ada di peringkat Kementerian Kewangan mahupun Kabinet.

"Ini hanyalah satu taktik untuk menimbulkan kebimbangan rakyat. Saya harap mereka tidak terpedaya dengan helah pembangkang," katanya.

Pembangkang menggunakan GST sebagai salah satu senjata utama untuk menyerang BN menjelang hari pengundian pada 7 Mei ini.

Najib berkata jemaah menteri dalam mesyuarat itu turut diingatkan untuk memenuhi janji kepada rakyat disusuli dengan tindakan dan perlaksanaan.

"Kerajaan akan memantau setiap perkembangan, jadi ia akan dilakukan mengikut jadual," katanya.

Beliau kemudiannya turut mengingatkan orang ramai supaya tidak percaya dengan perang psikologi yang digunakan pembangkang sepanjang tempoh berkempen ini.

Najib berkata demikian ketika ditanya mengenai usaha BN untuk mengubah kawasan kelabu bertukar kepada putih (selamat).

"Kita perlu berhati-hati dalam fasa akhir tempoh berkempen kerana pembangkang menggunakan taktik yang sama pada masa lalu," katanya yang merujuk kepada dakwaan pembangkang bahawa kerajaan membawa masuk 40,000 warga Bangladesh untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang lalu.

"Ini menjadi satu isu yang hangat dan rakyat marah dengan BN kerana hanya selepas pilihan raya umum mereka mengetahui bahawa ia hanyalah pembohongan.

"Saya ingin mengingatkan pengundi Sarawak untuk lebih berhati-hati mengenai perkara ini. Ini adalah usaha mereka untuk mengelirukan rakyat," katanya.

Artikel Lain