suria

PRN Sarawak - Pembangkang Celaru

Calon Barisan Nasional (BN) dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Tan Sri Adenan Satem (tiga, kanan) akan ditentang satu lawan satu oleh calon dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Jazolkipli Numan (kiri) bagi kerusi N3 Tanjung Datu.

LUNDU: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem menyifatkan pembangkang berada dalam situasi bercelaru apabila gagal menyelesaikan isu pembahagian kerusi hingga menyaksikan mereka bertanding sesama sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak 7 Mei depan.

Katanya, ketidakfahaman yang ditunjukkan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) membuktikan sikap sebenar kedua-dua komponen pembangkang itu.

"Saya percaya pembangkang gagal mencapai persetujuan apabila DAP dan PKR bertanding di kerusi yang sama atau mereka meletakkan calon bebas untuk menentang sesama sendiri.

"Ini menunjukkan wujud kecelaruan antara mereka," katanya pada sidang media selepas disahkan bertanding sebagai calon di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu di sini, Isnin.

Adenan bertanding satu lawan satu dengan wakil PKR, Jazolkipli Numan.

Selain itu katanya, kehadiran Jazolkipli tanpa ditemani pencadang dan penyokong turut memberi pentanda buruk kepada pembangkang.

Maklumat awal menunjukkan PKR bertembung dengan DAP di beberapa kawasan seperti Batu Kitang, Mulu, Simanggang dan Mabong.

PRN Sarawak, DAP, PKR

Artikel Lain