suria

Lelaki Ceroboh Kuil Bukan Militan - Polis

IPOH: Polis mengesahkan suspek lelaki yang bertindak menceroboh dan memecahkan patung di dalam sebuah kuil di Jalan Hospital di sini petang semalam tiada kaitan dengan kumpulan militan Daesh.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi berkata hasil siasatan mendapati bekas pelajar luar negara berusia 29 tahun itu hanya mengalami gangguan mental.

"Dia (suspek) hanya mempunyai masalah mental dan masih mendapat rawatan psikiatri. Dia juga tiada sebarang rekod jenayah lampau," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perak di sini, Isnin.

Abdul Rahim berkata suspek akan dibawa ke Hospital Bahagia Tanjung Rambutan hari ini untuk pemeriksaan kesihatan mental.

Ketua Polis Perak itu turut memberi amaran kepada mana-mana pihak supaya tidak memutar-belitkan dan menyebarkan insiden itu di laman sosial yang mungkin boleh mengugat keamanan, keselamatan dan kesejahteraan rakyat khususnya di Perak.

Malam tadi, Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Sum Chang Keong berkata semasa kejadian hanya terdapat seorang sami di kuil berkenaan yang juga merupakan saksi kejadian.

Katanya dalam kejadian kira-kira jam 5.10 petang itu suspek masuk ke kawasan kuil itu dengan sebuah kereta sebelum memecahkan patung berkenaan.

Selepas merosakkan patung berkenaan, suspek melarikan diri ke Jalan Ghazali Jawi dengan memandu kereta secara melawan arus dan terbabas lalu melanggar sebuah perhentian bas sebelum ditahan polis, katanya.

Ipoh, Polis, Kuil

Artikel Sebelum

Artikel Lain