suria

Usia Bukan Halangan Peroleh Ijazah

Kwok Yan Chee.

JOHOR BARU: Guru tuisyen sambilan, Kwok Yan Chee mencipta sejarah apabila muncul graduan tertua dilahirkan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Graduan berusia 78 tahun itu menerima Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Elektrik) pada Majlis Konvokesyen ke-56 UTM, pagi Ahad.

Walaupun mengambil masa selama lapan tahun untuk menamatkan pengajiannya itu, Yan Chee akhirnya diraikan bersama graduan lain pada majlis tersebut.

Bekas pesara guru yang mengajar di empat sekolah di Kuala Lumpur dan Selangor selama 32 tahun berkata beliau memilih untuk mengikuti bidang kejuruteraan elektrik yang amat diminatinya sejak 2007.

Pada Mac tahun yang sama, Yan Chee memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains dan Komputer Pendidikan (Matematik) selain mencipta sejarah sebagai graduan UTM paling veteran.

"Saya melanjutkan pelajaran untuk kepuasan diri sendiri dan memperbaiki kelemahan diri. Saya lakukannya mengikut rentak saya sendiri, bahagikan masa antara belajar dan pekerjaan saya sebagai guru tuisyen.

"Tetapi saya bukanlah pelajar terbaik dan perlu mengambil ulangan beberapa subjek. Saya gembira kerana berjaya meskipun berdepan pelbagai cabaran," katanya ketika ditemui selepas majlis konvokesyen di Kampus UTM Skudai.

Yan Chee berkata meskipun usianya sudah lanjut, rakan-rakan kelas dan pensyarah tidak pernah memberikan layanan yang berbeza.

"Mereka sentiasa membantu saya di dalam kelas dan semasa eksperimen dan juga tugasan. Mereka juga tidak kisah jika saya bertanyakan soalan," katanya.

Namun, belajar pada usianya agak mencabar kerana terpaksa mengorbankan waktu cuti untuk menghadiri kelas pada hujung minggu dan terpaksa mengajar pada hari biasa.

Malah, beliau turut menasihati golongan muda supaya tidak mudah putus asa ketika berdepan sebarang dugaan dalam kehidupan.

"Ibu bapa perlu mengambil berat soal pembelajaran anak-anak dari usia muda kerana pendidikan amat penting dalam menjamin kehidupan seseorang," katanya.

UTM, graduan veteran, Kwok Yan Chee

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain