suria

BN Menang Dua Kerusi Tanpa Bertanding - SPR

Awang Tengah Ali Hassan.

KUCHING: Barisan Nasional (BN) pada Isnin menang tanpa bertanding dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu di Bukit Sari dan Bukit Kota pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN-11).

Kerusi-kerusi itu dimenangi oleh kedua-dua penyandang, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan di Bukit Sari dan Dr Abdul Rahman Ismail di Bukit Kota.

Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah pada sidang media di pejabat SPR Sarawak di sini selepas selesai proses penamaan calon.

Bagi Awang Tengah, yang merupakan Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), ini merupakan kali kedua beliau menang tanpa bertanding selepas PRN 1996.

Pada pilihan raya negeri 1996, beliau menang tanpa bertanding di DUN Lawas, yang kemudian ditukar nama kepada Bukit Sari pada 2006 berikutan persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Awang Tengah, yang merupakan Menteri Kemudahan Awam dan Menteri Pembangunan Industri Sarawak, merupakan Anggota DUN empat penggal di Lawas iaitu 1987, 1991, 1996 dan 2001 serta dua penggal di Bukit Sari pada 2006 dan 2011.

Pada PRN 2011, beliau menewaskan calon PKR Japar Suyut dengan majoriti 5,063 undi.

Bagi Dr Abdul Rahman pula, ini kali ketiga beliau menang di Bukit Kota sejak 2006.

Pada PRN 2011, beliau menang dengan menewaskan calon DAP, Leong Kwang Yew dan dua calon Bebas iaitu Usop Jidin dan Ladis Pandin dengan majoriti 5,061 undi. - BERNAMA

PRN Sarawak, BN

Artikel Lain