suria

BN Buka Langkah Kanan, Perjanjian DAP-PKR Lebur

Adenan Satem mendapat sokongan moral daripada isterinya Puan Sri Jamilah Anu selepas beliau disahkan bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri itu di pusat penamaan calon Pilihan Raya Negeri ke-11 di Dewan Masyarakat Lundu pada Isnin. - fotoBERNAMA

KUCHING: Barisan Nasional (BN) melakukan 'ledakan' pertama pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN-11) apabila memenangi dua kerusi tanpa bertanding pada hari penamaan calon bagi 82 kerusi pada Isnin.

Penamaan calon bagi pilihan raya negeri 7 Mei ini menyaksikan pembangkang dalam keadaan kucar-kacir apabila DAP dan PKR gagal mencapai kesepakatan sehingga berlaku pertindihan calon bagi beberapa kerusi yang dipertikaikan.

Parti Amanah Negara (Amanah), rakan sekutu dalam Pakatan Harapan, dan PAS diramal tidak mampu memberi impak dan hanya dilihat sebagai 'pengacau'.

Calon BN, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, yang juga naib presiden kanan PBB dan Dr Abdul Rahman Ismail, juga daripada PBB, masing-masing mengekalkan kerusi Bukit Sari dan Bukit Kota untuk penggal ketiga.

Kali terakhir BN menang tanpa bertanding adalah bagi kerusi Daro dan Dalat pada tahun 2006.

Pada 2011, BN tidak memperoleh kemenangan percuma apabila menang 55 daripada 71 kerusi, DAP 12 dan masing-masing satu oleh PKR dan calon Bebas.

PRN-11 menarik sejumlah 228 calon dengan majoriti daripada mereka datang awal ke pusat penamaan calon bagi mengemukakan borang pencalonan serta memulakan kempen selama 12 hari.

BN telah menamakan calon bagi kesemua 82 kerusi, PKR dan DAP masing-masing bertanding 31 kerusi, PAS dan Star masing-masing 11 kerusi, Amanah (13), PBDS (B) (5) dan 36 calon Bebas.

BN di bawah populariti Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem, berdepan dengan saingan satu lawan satu di 36 daripada baki 80 kerusi yang akan dipertandingkan.

Adenan, yang pertama kali memimpin BN Sarawak dalam pilihan raya negeri itu, akan mempertahankan kubu kuatnya di Tanjung Datu apabila bersemuka dengan calon PKR, Jazolkipli Numan dalam pertandingan satu lawan satu.

Presiden PBB berusia 72 tahun itu mendapat suntikan moral apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, mengiringinya ke Dewan Masyarakat Lundu untuk mengemukakan borang pencalonan.

BN, PRN Sarawak

Artikel Lain