suria

Dr Mahathir Patut Namakan PM, TPM Pilihannya - Setiausaha Akhbar Najib

Dr Mahathir Mohamad.

KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad perlu mengumumkan siapa yang beliau mahu jadi perdana menteri dan timbalan perdana menteri sekiranya mahu menghentikan spekulasi bahawa beliau menyediakan laluan itu untuk anaknya Datuk Seri Mukhriz, kata Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad.

Tengku Sariffuddin berkata, sekiranya Dr Mahathir mahu cubaannya untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai kredibiliti, beliau patut sekurang-kurangnya memberikan jawapan terus terang tentang siapa calon pilihannya.

"Kenapa beliau (Dr Mahathir) sentiasa mengelak untuk menjawab soalan mudah ini tetapi soalan penting? Kenapa beliau sentiasa bersikap mengelak tentang perancangannya untuk masa depan politik Datuk Seri Mukhriz? 

"Jika beliau masih enggan (menamakan calon pilihan), beliau patut hentikan sikap mengalih perhatian ini demi Malaysia dan bersara dengan aman dan terhormat sepertimana dijangka oleh rakyat daripada seorang negarawan," kata Tengku Sariffuddin dalam kenyataan pada Sabtu.

Pada Jumaat, Mukhriz dilaporkan sebagai berkata, beliau akan menyaman Tengku Sariffuddin sekiranya beliau tidak menarik balik kenyataannya tentang Dr Mahathir menjanjikan jawatan perdana menteri kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, dengan syarat Muhyiddin membimbing Mukhriz untuk menggantikannya.

Tengku Sariffuddin berkata, rakyat, bukan satu orang, mengikut perlembagaan yang berhak secara demokrasi  untuk memilih kerajaan dan perdana menteri mereka pada pilihan raya umum akan datang.

Berhubung kenyataan Mukhriz kepada sebuah akhbar asing pada Jumaat bahawa beliau tidak bercita-cita untuk menjadi perdana menteri, Tengku Sariffuddin membangkitkan persoalan dengan itu kenapa bekas Menteri Besar Kedah itu bertanding jawatan Naib Presiden Umno pada 2013.

Beliau berkata, semua orang dalam politik Malaysia tahu hanya seseorang yang mahu menjadi presiden Umno, yang secara langsung juga adalah Perdana Menteri, akan bertanding jawatan naib presiden kerana ia merupakan langkah penting untuk menaiki tangga ke jawatan tertinggi itu.

"Mungkin oleh kerana beliau kalah dalam pertandingan itu menyebabkan Datuk Seri Mukhriz memberikan kenyataan bercanggah dengan menyatakan beliau tidak mahu menaiki tangga itu.

"Atau mungkin kerana beliau diberitahu untuk kata begitu oleh bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad. Tetapi kita semua tahu bahawa beliau atau bapanya mahu beliau menaiki tangga itu, sebab itu beliau bertanding jawatan naib presiden," kata Tengku Sariffuddin. - Bernama

Artikel Lain