suria

Kes Culik: Polis Belum Terima Maklumat Tuntutan Tebusan - KPN

KUALA LUMPUR: Polis belum menerima maklumat tuntutan tebusan daripada kumpulan bersenjata yang menculik empat rakyat Malaysia di perairan Ligitan, Sabah petang Jumaat.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya masih mengesan sama ada penculikan berkenaan melibatkan jenayah rentas sempadan atau tidak.

"Kita masih menyiasat sekiranya penculikan itu mempunyai kaitan dengan kumpulan Abu Sayyaf," katanya ketika dihubungi.

Mengulas mengenai keselamatan di perairan Sabah, beliau berkata kawasan perairan di sempadan selatan Filipina dan pantai timur Sabah adalah tidak selamat.

Justeru, beliau mencadangkan supaya segala bentuk bantuan, hubungan perniagaan serta pembekalan barang keperluan ke Selatan Filipina dari Sabah digantung serta-merta bagi tujuan keselamatan.

Katanya, kegiatan berkenaan menyukarkan pasukan keselamatan melakukan pemantauan menyeluruh.

Kira-kira pukul 6.15 petang semalam, empat rakyat Malaysia yang bertugas di sebuah kapal didaftarkan atas nama 'Masfive 6' diculik lapan lelaki bersenjata ketika dalam pelayaran balik dari Filipina ke Malaysia.

Keempat-empat lelaki berumur 21 hingga 34 tahun itu dalam perjalanan pulang ke Malaysia setelah selesai membawa kayu balak ke Manila, Filipina.

Empat lelaki berasal dari Sibu, Sarawak itu ialah Wong Teck Kang, 31, Wong Hung Sing, 34, Wong Teck Chii, 29, dan Johny Lau Jung Hien, 21.

Pengurus pentadbiran syarikat perkapalan tersebut membuat laporan polis di Balai Polis Pusat Miri, Sarawak semalam setelah menerima panggilan telefon daripada rakan setugas memaklumkan mengenai penculikan itu.

Salinan laporan polis itu difaksimili ke bilik gerakan Ibu Pejabat Kontinjen Sabah untuk tindakan susulan dan pagi tadi, polis Sabah mengesahkan mengenai kejadian itu.

Culik Sabah, Tebusan, Kapal

Artikel Lain