suria

Tindakan Tun M Keluar Parti Tidak Dapat Selesai Masalah - Pemimpin Umno

KUALA LUMPUR:Beberapa pemimpin Umno berpendapat Tun Dr Mahathir Mohamad perlu sedar tindakannya keluar parti tidak dapat menyelesaikan masalah yang berlaku ketika ini.

Walaupun ia bukan satu berita gembira, mereka berkata sebagai ahli politik berpengalaman, bekas perdana menteri itu perlu memberi keutamaan kepada usaha penyatuan rakyat.

Semalam, Tun Dr Mahathir, 90, mengumumkan beliau sekali lagi keluar daripada Umno selepas pernah berbuat demikian pada 19 Mei 2008 ketika zaman kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri (kini Tun) Abdullah Ahmad Badawi.

Di KUCHING, Ketua Pergerakan Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata tiada siapa yang kekal dalam sesebuah parti namun yang akan kekal adalah prinsip perjuangan mengenai visi dan misi parti.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Berambeh Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Panjang Kampung Sungai Buloh di Sadong Jaya.

"Sebenarnya daripada pengalaman saya lah yang mustahak di dalam perjuangan parti adalah kita kena tahu prinsip semangat perjuangan. Kita kena ingat tiada siapa yang kekal, yang kekal hanyalah semangat visi dan misi perjuangan parti," katanya.

Namun begitu, Shahrizat berkata walau apa pun yang berlaku dan di mana jua beliau berada, beliau meminta Dr Mahathir supaya mengutamakan penyatuan rakyat.

Sementara itu, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata apa yang penting anggota Umno terus merapatkan barisan dan meneruskan matlamat perjuangan tanpa mengira siapa yang keluar dan masuk parti kerana perkara itu adalah amalan biasa dalam mana-mana parti politik dan pertubuhan.

Yang penting siapa yang menjadi pemimpin dan ahli UMNO perlu memahami bahawa matlamat parti adalah untuk memperjuangkan masa depan orang Melayu dan Bumiputera, katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Sijil Perkhidmatan Cemerlang kepada 246 kakitangan daripada agensi-agensi di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) di Kuching hari ini.

Beliau meminta semua anggota parti supaya tidak terkesan dengan tindakan Dr Mahathir kerana sebahagian besar sudah menjangka tindakan beliau berdasarkan kenyataan yang dibuatnya sebelum ini. Beliau amat tidak selari dengan kepimpinan hari ini dan kita sudah tahu perkara ini akan berlaku dan tindakan beliau itu bukan perkara yang mengejutkan, kata Ismail Sabri.

Di JOHOR, Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata tindakan Dr Mahathir tidak dapat menyelesaikan masalah yang berlaku ketika ini dan ia sesuatu yang tidak wajar dilakukan.

"Amat malang sekali bila Tun Dr Mahathir ambil tindakan dan keputusan sebegitu. Dalam kita berparti, kita memang berdepan dengan pelbagai cabaran.

"Kadang-kadang dalam kita berlawan, kita ada menang dan ada kalah tetapi biasanya kita tidak tinggalkan parti," katanya kepada pemberita selepas majlis Exco Awayday di Johor Baru.

Mohamed Khaled yang juga Menteri Besar Johor berkata pemimpin dan anggota Umno kini perlu bekerja kuat bagi memastikan masalah yang dihadapi ketika ini dapat diselesaikan.

"Kita tidak boleh sekejap di dalam (parti). Kita suka pemimpin, kita di dalam, bila tidak suka, kita keluar. Kita pilih Umno bukan kerana pemimpin tetapi parti. Jadi, kita (Umno Johor) kecewa dengan tindakannya (Dr Mahathir).

"Sudah tentulah apa-apa tindakan mana-mana pihak keluar Umno merupakan sesuatu yang sangat tidak gembira apatah lagi ia melibatkan pemimpin besar seperti Tun Dr Mahathir. Walau apa pun, kita hargai jasanya," katanya.-- Bernama

Artikel Lain