suria

AS$1b Dalam Akaun Najib: 1MDB Nafi Dakwaan WSJ

PETALING JAYA: 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sekali lagi menafikan ia terbabit dalam penyaluran dana ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Wall Street Journal (WSJ) pada Isnin melaporkan deposit ke dalam akaun peribadi Najib berjumlah lebih AS$1 bilion (RM4.16 bilion), di mana penyiasat percaya ia berasal dari 1MDB.

"Ia telah diperjelaskan berulang kali oleh beberapa pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Peguam Negara dan beberapa penerbitan antarabangsa terkemuka yang mengesahkan bahawa dana itu dari Arab Saudi," menurut 1MDB dalam satu kenyataan pada Selasa.

Syarikat itu berkata, WSJ terus mengulangi dakwaan sama yang terbukti salah, di mana penerbitan itu tidak menyediakan sebarang bukti konklusif bagi menyokong dakwaannya, dengan maklumatnya daripada sumber tidak bernama dan tanpa nama.

"Bersandarkan kepada sumber tanpa nama, yang mungkin wujud atau tidak, pihak Wall Street Journal mengkhianati standard kewartawanan asas dan tersasar daripada membuat laporan yang seimbang," kata 1MDB.

1MDB

Artikel Lain