suria

Tun M Keluar Umno Tak Jejaskan Parti

Dr Mahathir Mohamad.

KUALA LUMPUR: Kalangan pemimpin Umno menyifatkan tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad keluar daripada parti sebagai 'tidak luar biasa' dan tidak akan sesekali menjejaskan parti berkenaan.

Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Tun Mahathir hanya mengulangi sejarah pada tahun 2008 dan tindakan kali ini tidak mengejutkan.

"Ini kali kedua Tun keluar (Umno). Jika ada yang berkata ia satu kerugian pada Umno, sebelum ini pun Umno tetap teguh ketika Tun keluar kali pertama dahulu," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka dan anggota MT berkata, tindakan Dr Mahathir itu tidak akan menyebabkan kerosakan yang besar kepada Umno.

"Ia tidak akan menjejaskan parti (Umno) dengan teruk, maksud saya ia tidak akan menyebabkan kerosakan besar kepada parti, ia akan dapat diuruskan dengan baik," katanya ketika dihubungi Bernama.

Idris berkata, Dr Mahathir pernah tidak bersama Umno ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Tunku Abdul Rahman menjadi Presiden Umno dan Perdana Menteri, namun Umno masih mampu memenangi pilihan raya umum serta bertahan sebagai sebuah kerajaan.

Katanya, ia merupakan suatu tindakan yang "telah dijangka' dan 'bukan luar biasa' oleh anggota Umno dan rakyat.

"Kita tahu tindakan Tun kerana kekecewaan setelah beberapa percubaan untuk menjatuhkan Presiden (Datuk Seri Najib Tun Razak) tidak berjaya," ujar Idris.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah pula yakin dengan ketaatan para pemimpin Umno dan tidak akan terpengaruh dengan tindakan Dr Mahathir.

"Dulu Tun keluar tapi Umno masih utuh sehingga sekarang, jika dia keluar kali ini, itu hak dia. Tapi saya tidak fikir Umno terutama di Kedah terjejas dengan situasi ini," katanya.

Seorang lagi anggota MT Umno, Datuk Irmohirzam Ibrahim pula berkata, tindakan Dr Mahathir itu tidak akan jejaskan sokongan rakyat kepada Umno dan Barisan Nasional (BN).

"Perkara ini bukan asing. Yang paling penting keutamaan rakyat mesti didahulukan dan diteruskan," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kelab Veteran Umno Malaysia, Datuk Mustapha Yaakub berkata, tindakan Dr Mahathir sudah dapat diramal dan pasti akan membawa kepada tindakan susulan termasuk oleh pengikutnya.

"Veteran Umno sedih dengan keputusan Tun Mahathir yang sekali lagi sanggup meninggalkan Umno, namun kami berharap pengikut-pengikut Tun Mahathir dapat berfikir secara rasional sebelum membuat apa-apa keputusan," katanya. 

Mustapha berkata, tindakan Dr Mahathir yang lebih banyak mengkritik kepimpinan parti sedia ada  menunjukkan beliau tidak lagi boleh bersama dengan Umno dan keputusannya untuk keluar parti adalah tepat.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata, tindakan Tun Mahathir itu bukan perkara yang mengejutkan.

"Keluar masuk UMNO sudah menjadi budaya beliau. Anggota yang tinggal perlu teruskan perjuangan ... biarkanlah Tun M, mana laungan 'Setia, Bersatu, Berkhidmat' beliau," katanya. - Bernama

Dr Mahathir Mohamad

Artikel Sebelum

Harga RON95, RON97 Turun Lagi

Artikel Berikut

Artikel Lain