suria

Ravi Alagendrran Ambil Alih Jawatan MD Rayani Air

Ravi Alagendrran.

PETALING JAYA: Susulan perletakan jawatan Pengarah Urusan (MD) Rayani Air, Jaafar Zamhari, kekosongan kerusi tersebut diisi oleh pemilik syarikat penerbangan patuh syariah pertama Malaysia itu, Ravi Alagendrran buat sementara waktu.

Ravi yang merupakan pengarah eksekutif syarikat penerbangan itu berkata, beliau memikul tanggungjawab tersebut selepas Jaafar meletak jawatan berkuatkuasa 29 Januari lalu.

“Sekarang saya mengambil alih jawatan MD (pengarah urusan) dan menjalankan tanggungjawab ini buat sementara waktu. Setakat ini, masih belum ada pengganti.

“Bagaimanapun, Rayani Air sedang mencari calon bersesuaian untuk dilantik sebagai pengarah urusan yang baharu,” katanya kepada mStar Online.

Mstar Online pada Khamis melaporkan Jaafar mengumumkan perletakan jawatannya sebagai pengarah urusan syarikat penerbangan itu.

Ravi (kanan) semasa memberi taklimat mengenai replika Boeing 737-400 kepada Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kedah, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid pada Majlis Pelancaran Rayani Air di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Disember tahun lalu. 

Ravi berkata, beliau menjangkakan jawatan pengarah urusan itu akan diambil alih oleh calon yang bersesuaian dalam tempoh empat bulan akan datang.

“Saya jangkakan tempoh empat bulan. Kita akan buat pengumuman mengenai pengarah urusan baharu nanti bila sudah ada calon yang sesuai,” katanya.

Ditanya mengenai keputusan Jaafar meletakkan jawatan, Ravi enggan mengulas tetapi hanya berkata: “Biarlah kita beri tumpuan kepada Rayani Air buat masa ini.”

Menurut Jaafar dalam satu kenyataan pada Rabu, beliau mengemukakan surat peletakan jawatan pada 13 Januari lalu selepas empat bulan memegang jawatan berkenaan.

"Berdasarkan kepakaran dan pengalaman saya sebagai bekas pengawal selia Jabatan Penerbangan Awam (DCA), matlamat saya adalah membantu dalam pembentukan syarikat penerbangan ini dari segi keselamatan operasi.

"Saya telah melakukan tugas berkenaan dan Rayani Air kini sudah beroperasi,” katanya sambil menambah sedang memberi tumpuan kepada prospek kerjaya lain.

Rayani Air memulakan penerbangan sulungnya pada 20 Disember tahun lalu bagi laluan Kuala Lumpur-Langkawi.

Isnin lalu, Rayani Air memperkenalkan laluan Kuala Lumpur-Kota Kinabalu, laluan ketiga selepas Kuala Lumpur-Langkawi dan Kuala Lumpur-Kota Baru.

Bagi fasa pertama, syarikat penerbangan itu akan menggunakan dua pesawat lama Boeing 737-400 bagi laluan Kota Baru, Kuching, Langkawi dan Kota Kinabalu.

Artikel Berikut

Artikel Lain