suria

Kerja Pembersihan Sisa Bauksit Siap Seminggu Lebih Awal

Hujan kadangkala lebat sejak pagi Khamis menyebabkan limpahan air dari tapak pelombongan bauksit turun ke kawasan rumah beberapa penduduk Taman Sungai Karang Jaya sehingga berlaku banjir kilat di hadapan rumah semasa tinjauan fotoBERNAMA.

KUANTAN: Operasi pembersihan kesan aktiviti bauksit di jalan raya, kemudahan awam dan taman perumahan yang tercemar dengan kegiatan itu kini siap sepenuhnya, seminggu lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan sebelum ini.

Pengarah Bomba dan Penyelamat negeri Pahang, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata secara kasarnya kerja-kerja mencuci segala sisa kotoran bauksit itu telah selesai dilakukan hari ini selepas bekerja keras selama 22 hari sejak 14 Januari lalu.

"Kerja-kerja pembersihan berjaya diselesaikan seminggu lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan dan pada Jumaat kami akan berehat sementara.

"Bagaimanapun pada hari Sabtu dan Ahad nanti, kami melawat kembali kawasan yang telah dibersihkan sebelum ini untuk membersihkan sisa bauksit yang mungkin masih ada pada papan tanda, tiang lampu dan pembahagi jalan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau operasi pembersihan di Jalan Gebeng di sini Khamis.

Selain 40 anggota bomba, dua kakitangan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Alam Flora (22 orang), Jabatan Kerja Raya (JKR)(sembilan orang) dan Jabatan Penjara (tujuh orang) turut terlibat dalam operasi yang dijalankan itu.

Pada 13 Januari lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam mesyuarat Kabinet mengarahkan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menjalankan kerja pembersihan di kawasan yang terjejas akibat perlombongan bauksit bermula 14 Jan hingga 14 Februari.

Abdul Wahab berkata kerjasama erat antara agensi terlibat termasuk SwCorp dan Alam Flora, mempercepatkan lagi operasi pembersihan yang sepatutnya mengambil masa selama sebulan itu.

"Bukan sahaja operasi pembersihan berjaya dipercepatkan, tetapi kami telah  meluaskan jarak pembersihan daripada 45 kilometer (km) sebelum ini kepada 70km," katanya.

Antara kawasan yang terlibat ialah Jalan Kuantan-Pelabuhan, Jalan Bukit Goh, Jalan Bukit Kuantan, Jalan Sungai Lembing, Jalan Kuantan Bypass, Jalan Gebeng Bypass, Jalan Jerangau Jabor dan Jalan Bukit Sagu-Cherul.

Menurut Abdul Wahab, sepanjang tempoh 22 hari operasi pembersihan itu dilakukan, 130 anggota dan pegawai bomba dengan tujuh jentera bomba terlibat.

Katanya ia melibatkan Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng, Indera Mahkota, Taman Tas dan Kuantan.

Dalam masa sama, beliau berkata sebelum 14 Februari ini, pihaknya masih bersedia untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan bauksit sekiranya terdapat permintaan daripada orang awam. - BERNAMA

bauksit, Kuantan

Artikel Sebelum

Artikel Lain