suria

Cuaca Panas Di Lautan Hindi Mudahkan Operasi Cari MH370

Datuk Seri Liow Tiong Lai
KUALA LUMPUR: Cuaca panas yang sedang berlaku di selatan Lautan Hindi pada masa ini akan membolehkan misi pencarian pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 dilakukan dengan lebih selamat dan cepat.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata keadaan laut yang tidak berombak besar berbanding keadaan pada waktu lain akan membantu kapal-kapal yang sedang beroperasi di lautan itu memperluas operasi pencarian.

"Kami yakin misi pencarian yang kami lakukan sekarang di Lautan Hindi Selatan adalah tepat tempatnya dan mempunyai keyakinan yang tinggi pesawat MH370 akan ditemui.

"Pencarian MH370 ini merupakan misi utama Kementerian Pengangkutan dan kami laksanakan misi pencarian ini bersama Australia dan China," katanya pada sidang akhbar selepas mengedarkan bungkusan cenderahati sempena perayaan Tahun Baru Cina kepada penumpang perkhidmatan tren elektrik (ETS) di sini Jumaat.

Liow berkata Malaysia bersama dua negara tersebut sememangnya komited dengan misi itu untuk segera menemui pesawat malang yang membawa 239 penumpang dan anak kapal yang hilang sejak 8 Mac 2014 lalu.

Liow berkata pada masa ini empat buah kapal terlibat dalam misi pencarian itu termasuk kapal dari China yang baru memulakan operasinya pada 1 Februari lalu.

Pesawat MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing hilang pada 8 Mac 2014.

Dalam perkembangan lain, Liow berkata kementeriannya menerusi Malaysia Airport Holdings Bhd akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan bagi mengawasi pintu-pintu masuk ke negara ini di semua lapangan terbang bagi mengekang kemasukan penumpang yang membawa virus Zika.

Katanya tumpuan akan diberikan kepada pelancong atau rakyat negara ini yang baru pulang dari negara punca wabak itu seperti Brazil dan negara lain di Latin Amerika.

Artikel Lain