suria

Mukhriz Hanya Mampu Bertahan Tiga Tahun Sebagai MB

KUALA LUMPUR: Kira-kira tiga bulan lagi akan genap tiga tahun Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir menjadi Menteri Besar Kedah, namun pada Rabu, beliau sudah hilang jawatan itu kerana UMNO Kedah tidak lagi menyokong kepimpinannya.

Anak bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah ke-11 pada 6 Mei, 2013 selepas Barisan Nasional (BN) merampas kembali pemerintahan negeri itu daripada PAS pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) pada tahun yang sama.

Tanda-tanda kedudukan Mukhriz goyang bermula pada 20 Jan lepas, setelah hampir seluruh kepimpinan UMNO Kedah, termasuk anggota Anggota Dewan Undangan Negeri dan anggota Parlimen daripada UMNO menyatakan secara terbuka bahawa mereka hilang keyakinan terhadap Mukhriz sebagai menteri besar dan pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri.

Pendirian itu disuarakan sendiri Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah selepas mengadakan pertemuan tertutup dengan hampir kesemua Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan anggota Parlimen UMNO Kedah.

Mukhriz, 51, menggantikan Datuk Seri Azizan Abdul Razak daripada PAS setelah Barisan Nasional (BN) berjaya menawan semula Kedah dengan majoriti mudah, 21 daripada 36 kerusi DUN.

Pelantikan beliau ke jawatan itu turut mencatat sejarah sebagai anak perdana menteri yang kedua di negara ini menyandang jawatan menteri besar selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang pernah menjadi menteri besar Pahang ke-12 pada tahun 1982.

Penglibatan Mukhriz dalam politik agak lambat iaitu hanya selepas bapanya bersara daripada politik disebabkan Dr Mahathir telah membuat 'arahan' bahawa tiada anggota keluarganya boleh menceburi politik selagi beliau masih perdana menteri.

Kerjaya politik anak kelima daripada tujuh beradik itu pada awalnya kurang menyerlah apabila percubaannya untuk merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kubang Pasu pada Julai 2004 menemui kegagalan.

Namun beliau kemudian berjaya mendapat undian tertinggi untuk jawatan Exco Pemuda UMNO pada September tahun yang sama.

Pemilihan Mukhriz sebagai wakil rakyat bermula apabila beliau menang kerusi Parlimen Jerlun dalam PRU12 pada 2008 selepas mengalahkan Idris Ahmad daripada PAS dengan majoriti 2,205 undi.

Kemenangan itu membawa kepada pelantikannya sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada 2009.

Dalam PRU ke-13 pada 2013, Mukhriz yang bertanding di DUN Ayer Hitam, berjaya menewaskan Abd Ghani Ahmad daripada PAS dengan majoriti 2,446 undi.

Sepanjang kerjaya politiknya juga, Mukhriz pernah dua kali gagal dalam pemilihan jawatan di peringkat tertinggi UMNO.

Beliau kalah kepada Khairy Jamaluddin dalam persaingan jawatan Ketua Pemuda UMNO bagi penggal 2008/2011, selain gagal dalam pertandingan bagi jawatan naib presiden UMNO dalam pemilihan parti pada Oktober 2013.

Mukhriz berkahwin dengan Datin Norzieta Zakaria pada 14 Nov, 1993 dan dikurniakan tiga cahayamata dua perempuan dan seorang lelaki iaitu Meera Alyanna, Misha Hakeem serta Melia Serena.

Bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara Kota Baharu itu memiliki ijazah dalam bidang Pengurusan Perniagaan dari Sophia University, Jepun pada 1982 dan International Marketing dari Boston Unversity pada 1987.

Sebelum menceburi bidang politik, Mukhriz bergiat aktif dalam sektor korporat dan pernah menyandang beberapa jawatan seperti Pengarah Urusan M. Ocean Diving Sdn Bhd, Pengerusi dan Pengarah Urusan OPCOM Holdings Berhad dan Pegawai Eksekutif Ajiya Bhd.

Kedah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain