suria

Saringan Di Pintu Masuk Malaysia Diperketat Halang MERS-CoV

Subramaniam (tengah) ketika menghadiri upacara keagamaan di sebuah kuil di Jalan Air Terjun, Pulau Pinang, Isnin.

GEORGE TOWN: Kementerian Kesihatan akan mengetatkan saringan di semua pintu masuk negara berikutan laporan seorang pelancong dari Oman disahkan dijangkiti Sindrom Pernafasan Virus Korona Timur Tengah (MERS-CoV) di Thailand, Ahad.

Menterinya Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, pihaknya juga mengambil langkah proaktif dan sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia untuk menghalang penularan MERS-CoV di negara ini.

"Sudah pasti langkah berjaga-jaga akan dipertingkatkan terutama di pintu masuk utama dan lapangan terbang dengan menjalankan pemeriksaan menggunakan kelengkapan yang ada termasuk pemeriksaan suhu badan terhadap pelancong asing yang datang ke sini.

"Setakat ini, kita meneruskan pemantauan seperti biasa dan jemaah yang baru pulang dari mengerjakan umrah turut diberikan panduan kesihatan supaya lebih peka dengan wabak MERS-CoV. Orang ramai terutama pelancong perlu mendapatkan pemeriksaan kesihatan segera jika mempunyai simptom virus berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri upacara sembahyang sempena Thaipusam di Kuil Chettiar, Jalan Kebun Bunga di sini, Isnin.

Beliau diminta mengulas laporan akhbar bahawa pihak berkuasa Thailand mengesahkan kes kedua MERS-Cov pada Ahad, selepas pemeriksaan kesihatan ke atas seorang lelaki berusia 71 tahun dari Oman disahkan dijangkiti sindrom berkenaan.

Ahli perniagaan itu tiba di Bangkok, Thailand pada Jumaat dan susulan itu Kementerian Kesihatan Thailand menjalankan pemeriksaan dan pemantauan ke atas 37 individu termasuk anak lelakinya yang menaiki penerbangan sama.

Dr Subramaniam berkata beliau juga yakin Thailand dapat mengawal penularan wabak berkenaan dan orang ramai tidak perlu panik mengenai perkara berkenaan.

Sementara itu, beliau yang juga Presiden MIC mengucapkan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana berjaya memberikan perkhidmatan terbaik sepanjang sambutan Thaipusam yang berlangsung di seluruh negara.

"Sepanjang lawatan saya dari kuil di Ipoh, Perak, Batu Caves di Selangor dan Pulau Pinang, saya nampak pihak polis komited mengawal lalu lintas dan membuat pemantauan bagi menjaga keselamatan orang ramai terutama penganut Hindu.

"Saya tengok beribu-ribu anggota polis menjalankan tugas, ini memberi keyakinan kepada penganut Hindu untuk menunaikan ibadat dalam suasana yang selamat. Terima kasih kepada PDRM," katanya.-- Bernama

MERS-CoV, Thailand, Oman, Thaipusam

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain