suria

Polis Sukarelawan Maut Dihempap Lori

KUANTAN: Seorang sukarelawan polis yang baharu menamatkan syif di Balai Polis Beserah, di sini maut selepas kereta dipandunya dihempap lori yang hilang kawalan.

Pegawai Turus Trafik negeri Deputi Superintendan Ahmad Nadzri Zainal berkata mangsa Muhammad Rizal Ramly, 37, yang berasal dari FELDA Neram 1, Kemaman maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Kejadian pukul 6.15 pagi di Jalan Kuantan-Pelabuhan Kuantan itu turut menyebabkan pemandu lori Mohd Shah Abu Bakar, 51, yang berasal dari Kulaijaya, Johor dan kelindannya Fazlan Abd Kadir, 42, dari FELDA Air Tawar 4, Kota Tinggi, Johor cedera dan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, di sini.

"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila pemandu lori yang menghala ke bulatan Aspa Cottage dari bandar hilang kawalan menyebabkab ia terbalik dan menghempap kereta mangsa yang bergerak di laluan kiri," katanya di sini, Sabtu.

Ahmad Nadzri berkata anggota bomba dan penyelamat mengambil masa hampir setengah jam untuk mengalihkan lori sebelum dapat mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di dalam kereta. 
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Sebelum

Artikel Lain