suria

Warga Bangladesh Terjun Sungai Elak Ditahan Imigresen

-Gambar hiasan
ALOR SETAR: Seorang lelaki warga Bangladesh sanggup bergadai nyawa dengan terjun ke dalam sungai bagi mengelak ditahan Imigresen negeri, Khamis.

Pengarah Imigresen Kedah Mohamad Yusri Hashim berkata dalam 'Ops Sapu' yang dijalankan pada 4.30 petang itu, pemeriksaan dijalankan di sebuah pusat kitar semula di Alor Mengkudu, Alor Setar dan sebuah kediaman di Mukim Jeneri, Sik.

Lelaki berusia 36 tahun yang bekerja di pusat kitar semula itu bagaimanapun berjaya diberkas selepas gagal berenang melintasi sungai kerana arus deras, katanya dalam kenyataan di sini Jumaat.

Sebanyak 29 pendatang asing tanpa izin (PATI) terdiri daripada 18 lelaki Bangladesh, Nepal (6) dan tiga lelaki dan serta dua wanita warga Kemboja berumur antara 22 hingga 51 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan dalam ops berkenaan.

Semua PATI ditahan di lokap Imigresen, Bangunan Kementerian Dalam Negeri, Alor Setar untuk siasatan sebelum diserah ke Depot Tahanan Imigresen Belantik, Sik.

Artikel Lain