suria

Suspek Samun Polis Trafik Ditahan

KUALA LUMPUR: Polis berjaya menahan dua suspek lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes samun seorang anggota polis trafik dekat Subang Jaya, malam selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Yahaya Ramli berkata suspek berusia 22 tahun dan 30 tahun itu ditahan kira-kira pukul 2 pagi semalam di USJ 1, hasil risikan polis.

"Semasa tangkapan dijalankan, berlaku sedikit pergelutan dengan suspek sebelum polis berjaya merampas antara lain, lima buah telefon bimbit, dua buah 'power bank', sebuah pemutar skru, dan sebuah playar," katanya.

Yahaya berkata hasil siasatan, beg mangsa yang disembunyikan di tepi sebuah kedai pengiklanan di Klang, berjaya ditemukan semula.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.50 malam, mangsa berusia 23 tahun dilaporkan dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menyelesaikan tugasan hariannya apabila disamun suspek.

"Ketika kejadian, mangsa memberhentikan motosikalnya di persimpangan lampu isyarat di Persiaran Mulia, dekat sini sebelum didatangi oleh sebuah motosikal ditunggangi oleh dua suspek lelaki.

"Kedua-dua suspek berkenaan dilaporkan mengekori mangsa dari arah belakang sebelum berhenti di sebelahnya," katanya.

Mangsa yang menyangka suspek adalah rakannya tersentak selepas seorang daripada suspek menarik beg silangnya, yang mengandungi sebuah dompet, kad kuasa polis, kad pengenalan, kad bank, sejumlah wang tunai serta dua buah telefon bimbit, dengan kuat menyebabkan beliau jatuh di atas jalan.

Mangsa cedera pada bahagian tangan, siku serta kaki manakala suspek melarikan diri dengan memecut laju motosikal yang ditunggang, kata Yahya.

Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari sejak Khamis dan kes disiasat menurut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat. - BERNAMA


polis trafik, samun

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Polis Soal Siasat Dr Mahathir

Artikel Lain