suria

Empat Anggota Polis Mengaku Tidak Bersalah Kurung Ahli Perniagaan

KUALA LUMPUR: Empat anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan melarikan dan mengurung seorang ahli perniagaan yang bergelar Datuk, dua tahun lalu.

Mohd Khairul Hafiz Yaacob, 33, yang bertugas sebagai Inspektor di IPD Ampang, manakala tiga anggota lain iaitu Khairon Zaidee Basiron, 33; Azlan Abdul Kadir, 35; dan Amran Md Sali, 39; masing-masing bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Jagjit Singh Bant Singh.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa melarikan dan mengurung secara salah K. Gopala Guru, 48, di Jalan Maharajalela, Off Jalan Loke Yew, antara 7 malam dan 7.30 malam, pada 2 Februari 2013.

Kesemua tertuduh, yang kini digantung tugas, didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Norazlin Mohammed Yusoff tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan kesalahan itu tidak boleh dijamin dan ia merupakan kesalahan serius.

Katanya, pihak pendakwaan bimbang kesemua tertuduh akan mengganggu mangsa, anggota keluarga mangsa dan saksi sekiranya mahkamah membenarkan mereka dibenarkan jamin.

Peguam Iszam Kamal Ismail mewakili Mohd Khairul dan Azlan Abdul Kadir manakala peguam Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazali mewakili Khairon Zaidee dan peguam Ridha Abdah Subri pula mewakili Amran.

Kesemua tertuduh memohon mahkamah memberikan jaminan atas alasan mereka mempunyai anggota keluarga di sini dan tiada kemungkinan untuk melarikan diri selain akan hadir pada setiap tarikh sebutan sehingga kes selesai.

Hakim Datuk Jagjit Singh Bant Singh membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin dan tidak menghampiri atau mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 2 Disember untuk sebutan semula kes itu.-- Bernama

Artikel Lain