suria

Malaysia Gesa Indonesia Tidak Kompromi Terhadap Syarikat Lakukan Pembakaran Hutan

JAKARTA: Malaysia menggesa kerajaan Indonesia mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau syarikat perladangan termasuk dari Malaysia jika didapati sengaja melakukan pembakaran hutan dan ladang di negara ini sehingga mengakibatkan jerebu ke negara jiran.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pendirian kerajaan Malaysia adalah jelas iaitu tidak akan menyebelahi mana-mana syarikat pelaburan dari negaranya yang melakukan kesalahan dan tidak mematuhi undang-undang di negara lain.

"Syarikat Malaysia yang beroperasi di sini berada di bawah undang-undang Indonesia, jadi terserah kepada kerajaan republik itu untuk mengambil tindakan sewajarnya ke atas mereka sekiranya bersalah," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan beberapa anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia, di sini Selasa.

Delegasi Malaysia yang diketuai oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengadakan lawatan kerja sehari ke Jakarta pada Selasa sebagai utusan khas kabinet Malaysia bagi mengadakan perbincangan mengenai masalah jerebu.

Selain perjumpaan dengan beberapa anggota DPR, delegasi itu juga mengadakan perbincangan dengan Menteri Lingkungan Hidup dan Kehutanan Indonesia Dr Siti Nurbaya Bakar di pejabatnya bagi membincangkan persoalan khusus mengenai jerebu.

Katanya, Malaysia juga berharap satu perjanjian persefahaman (MoU) mengenai usaha menangani masalah jerebu di negara ASEAN yang dirancang pada Julai lalu dapat ditandatangani dalam masa terdekat.

Sementara itu, Tengku Adnan berkata, "Kita datang untuk bincang apa yang terbaik bagi menyelesaikan masalah (jerebu) yang berlarutan ini.

"Kita faham masalah yang dihadapi oleh Indonesia jadi kita sama-sama bincang untuk menanganinya," katanya.

Akhbar tempatan baru-baru ini melaporkan pihak berkuasa Indonesia telah mengenalpasti lima syarikat perladangan milik Malaysia dipercayai terbabit dengan aktiviti pembakaran hutan dan kawasan pertanian di Indonesia untuk tujuan penanaman semula. - BERNAMA

Indonesia, pembakaran hutan, jerebu

Artikel Lain