suria

Tumpahan Minyak Di KLIA2 Akibat Kebocoran Saluran Paip Bawah Tanah - DCA

PUTRAJAYA: Siasatan awal terhadap tumpahan minyak di Apron, iaitu kawasan meletak pesawat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) Ahad lepas, menunjukkan kemungkinan disebabkan kebocoran saluran paip di Petak Meletak Pesawat Q10 dan Q12, menurut Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

Ketua pengarah jabatan itu, Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata MA Sepang, anak syarikat Malaysia Airport Holdings Bhd, dan Kuala Lumpur Aviation Fuelling System (KAFS) sedang menjalankan siasatan selanjutnya serta kerja pembaikan pada saluran paip yang bocor.

"DCA akan memantau situasi ini dari dekat demi menentukan siasatan dan kerja pembaikan dikendali benar-benar mengikuti prosedur keselamatan," katanya dalam satu kenyataan di sini Selasa.

Ahad lepas, kebocoran minyak dikesan di petak Q10 dan Q12 oleh staf Sepang.

Menurut Azharuddin, sebagai langkah berjaga-jaga, saluran paip minyak bagi petak Q2, Q4, Q6, Q8, Q10, Q12 dan Q14 ditutup untuk kerja penyucian dan pemeriksaan oleh KAFS MA Sepang selepas insiden itu.

"Bagaimanapun, kini hanya petak Q10 dan Q12 masih ditutup, sementara petak yang lain beroperasi seperti biasa," kata beliau.

Beliau berkata DCA telah menghantar pasukan pemeriksa bagi menentukan langkah keselamatan dipatuhi sepenuhnya. - BERNAMA

Artikel Lain