suria

Dana Bajet Perlu Disalur Sebaik Mungkin - Shafie Apdal

Shafie Apdal

SEMPORNA: Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata Bajet 2016 yang diperuntukkan menerusi kementerian perlu disalurkan sebaik mungkin kepada agensi sedia agar memberi impak kepada rakyat.

Beliau berkata perkara itu penting dan perlu diberi penekanan berikutan keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu.

"Kita berharap semua peruntukan dalam Bajet 2016 dapat digunakan sebaik mungkin dan pelbagai inisiatif atau langkah yang disediakan menerusi pelbagai kementerian dapat dilaksanakan sebaik mungkin," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.

Beliau menyambut baik peruntukan RM523 juta untuk pembangunan kem tentera darat di Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (ESSCom) di Felda Sahabat, Lahad Datu.

Katanya peruntukan itu sangat bertepatan namun memerlukan pelaksanaan yang tepat demi mencapai matlamatnya untuk memperkukuh sistem keselamatan negara, khusus di Sabah.

Diminta mengulas mengenai bantuan kepada mangsa kebakaran di Kampung Simunul, Mohd Shafie yang juga Anggota Parlimen Semporna berkata pihaknya telah berhubung dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mempercepatkan pembinaan rumah transit.

"Pihak MKN telah bersetuju untuk membantu membina rumah transit dan mempercepatkan pembinaannya. MKN sedang menyelaraskan perkara itu dengan pihak Setiusaha Kerajaan Negeri.

"Oleh kerana tempat tinggal mereka kini tidak sesuai dan tidak  selesa, kita sangat berharap pihak yang berkenaan dapat mempercepatkan pembinaan rumah transit tersebut," katanya.

Beliau berkata kira-kira 1,525 mangsa yang terlibat dalam kebakaran yang memusnahkan 163 rumah di Kampung Simunul pada 3 Okt lepas itu, kini ditempatkan di dewan kampung berkenaan yang dilihat kurang sesuai kerana keadaan dewan yang daif.-- Bernama

Shafie Apdal, Bajet 2016, Semporna

Artikel Sebelum

Artikel Lain