suria

Mayat, Rangka Murid Orang Asli Dituntut Ahad

Gambar fail Pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) membawa keluar bungkusan berisi rangka kanak-kanak yang merupakan antara tujuh murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi yang hilang sejak Ogos lepas di Sungai Perias. Foto Bernama

GUA MUSANG: Dua mayat dan dua rangka murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi yang ditemui di Sungai Perias di sini akan dituntut oleh keluarga masing-masing pagi Ahad.

Empat mangsa tersebut dikenali sebagai Haikal Yaakob, 8, Linda Rosli, 8, Ika Ayel, 9, dan Juvina David, 7.

Keluarga keempat-empat mangsa dibenarkan menuntut mayat kanak-kanak itu selepas pembuktian identiti menerusi ujian DNA selesai dijalankan oleh Jabatan Kimia pada Jumaat.

Seorang bapa mangsa, Ayel Ajid, 48, berkata keempat-empat mangsa juga akan dikebumikan secara serentak mengikut adat Orang Asli suku Temiar di Kampung Penad.

Ayel berkata, kesemua anggota keluarga mangsa telah lama bersiap sedia untuk membawa pulang jasad anak-anak mereka, namun ditangguhkan oleh pihak Hospital Gua Musang yang mahu menguruskan mayat kanak-kanak itu dengan sempurna.

“Kita tunggulah sampai pagi esok untuk menuntut keempat-empat mayat berkenaan dan mereka akan dikebumikan segera di Kampung Penad kerana semua mangsa tinggal di kampung itu.

“Saya juga rasa tidak sabar untuk membawa balik mayat anak saya, Ika. Kami harap dapat lupakan tragedi hitam ini,” katanya ketika ditemui di Pos Tohoi di sini, Sabtu.

Sementara itu, Sobrie Latip, 25, berkata beliau tidak terkilan apabila pengumuman hasil ujian DNA semalam menyatakan bahawa mayat pertama yang ditemui pada 7 Okt lepas bukan anaknya Sasa, 8, walaupun proses pengecaman awal menyangkakan mayat berkenaan adalah anaknya.

“Saya berharap pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dapat menemui Sasa walaupun ia hanya tinggal rangka agar kami sekeluarga dapat melepaskan kerinduan terhadapnya,” katanya.

Tujuh murid SK Tohoi dilaporkan hilang selepas bertindak melarikan diri dari asrama pada 23 Ogos kerana takut dikenakan hukuman kerana mandi di sungai tanpa kebenaran.

Dua daripada mangsa iaitu Norieen Yaakob, 10, dan Miksudiar Aluj, 11, ditemui hidup pada 9 Okt selepas hilang selama 48 hari di dalam hutan. - Bernama

Artikel Lain