suria

Kami Mahu Peralatan, Bukan Ahli Bomba - Indonesia

BANGI: Indonesia memerlukan lebih banyak peralatan dan bukannya ahli pasukan bomba untuk membantu memadamkan kebakaran, kata Kaunselor Menteri di Kedutaan Besar Indonesia di Malaysia Freddy M. Panggabean.

Katanya kelengkapan seperti pesawat untuk memadam kebakaran melalui kaedah bom air yang berupaya untuk terbang di atas beratus-ratus kawasan panas amat diperlukan.

"Dari awal kita tidak perlukan ahli bomba untuk membantu mengatasi masalah jerebu ini kerana kami mempunyai anggota yang cukup.

"Apa yang kita perlukan adalah peralatan dan pesawat dengan kapasiti yang lebih besar untuk membawa air (lebih daripada) 6000 (liter)," katanya ketika menghadiri forum mengenai jerebu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Sebelum ini dilaporkan bahawa Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia tidak menerima sebarang permohonan rasmi daripada Indonesia untuk menghantar anggotanya untuk memadamkan kebakaran di republik itu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata seramai 1,500 anggota pasukan itu bersiap sedia untuk ke Indonesia bagi tujuan berkenaan.

Sebelum ini, Presiden Indonesia, Joko Widodo, secara rasmi meminta bantuan daripada empat negara, iaitu Malaysia, Singapura, Russia dan Jepun, untuk membantu memadamkan kebakaran yang mengakibatkan jerebu sehingga menjejaskan kualiti udara negara jiran sejak dua bulan lalu.

Jerebu, Bomba, Kebakaran Hutan

Artikel Berikut

Artikel Lain