suria

Bajet 2016: Tiada GST Untuk Ubat Penyakit Tak Berjangkit

KUALA LUMPUR: Tiada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dikenakan ke atas semua jenis ubat penyakit tidak berjangkit, merupakan antara  tujuh langkah penambahbaikan layanan GST berkuat kuasa menjelang 1 Januari depan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata penambahbaikan itu melibatkan semua jenis ubat terkawal di bawah senarai Racun Kumpulan A,B,C,D serta tambahan sebanyak 95 jenama ubat 'boleh dibeli kaunter'.

"Ini meliput ubat bagi 30 jenis penyakit seperti ubat kanser, kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung. Ini melibatkan peningkatan dua kali ganda daripada 4,215 kepada 8,630 jenama ubat," katanya ketika membentangkan Bajet 2016 bertajuk 'Mensejahtera Kehidupan Rakyat' di Dewan Rakyat Jumaat.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata penambahbaikan kedua adalah melibatkan tiada GST dikenakan ke atas pelbagai jenis barangan makanan dan masakan termasuk susu bayi dan kanak-kanak berasaskan kacang soya dan susu organik.

Perdana Menteri berkata bagi membolehkan petani berskala kecil mendpat manfaat daripada Skim Kadar Rata di bawah GST, had jualan tahunan untuk tujuan pendaftaran di bawaj skim itu diturunkan kepada RM50,000 daripada RM100,000, yang merupakan penambahbaikan ketiga.

Najib berkata penambahbaikan keempat pula adalah syarikat-syarikat terlibat  aktiviti penyelenggaran, pembaikan dan baik pulih di dalam industri aeroangksa pula akan dibenarkan menyertai 'Approved Trader Scheme' dan diberikan pelepasan GST ke atas pengimportan barang-barang.

Penambahbaikan kelima pula membabitkan pelepasan GST ke atas pengimportan semula barangan yang telah dieksport secara sementara bagi tujuan promosi, penyelidikan atau pameran, katanya.

Menurutnya, pelepasan GST juga diberikan kepada pengimportan semula peralatan dieksport secara sementara bagi tujuan sewaan dan pajakan seperti peralatan pelantar minyak juga platform terapung.

Seterusnya, katanya pelepas GST turut diberikan untuk perolehan bahan dan peralatan mengajar kepada penyedia latihan kemahiran dan vokasional yang menjalankan program diluluskan di bawah Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006.

Selain pelepasan dan penambahbaikan tersebut, Najib turut mengumumkan pengguna telefon bimbit akan mendapat kembali rebat bersamaan dengan amaun GST yang dibayar, yang akan dikreditkan terus ke dalam akaun perkhidmatan pembayar mereka berkuat kuasa mulai 1 Jan hingga 31 Dis 2016.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata perkhidmatan pengangkutan penumpang udara domestik kelas ekonomi bagi laluan Perkhidmatan Udara Luar Bandar untuk manfaat penduduk pedalaman di Sabah, Sarawak dan Labuan turut dikecualikan GST.

Najib dalam pada itu memberitahu Dewan Rakyat, sehingga kini, terdapat hampir 400,000 jumlah syarikat yang telah berdaftar dengan GST dengan kadar patuh serahan mencapai lebih 90 peratus.

Malaysia mula melaksanakan GST pada 1 April lepas yang dilihat sebagai satu pembaharuan penting dalam usaha memperkukuh ekonomi negara dengan mengambil kira kepentingan rakyat.

Langkah itu menyaksikan Malaysia menyertai barisan lebih 160 negara di dunia yang telah memperkenalkan GST, termasuk tujuh negara rantau Asia Tenggara yang menganggotai ASEAN.

Pada kadar GST enam peratus - kadar yang paling rendah dalam kalangan negara ASEAN - kerajaan menyasarkan hasil dikutip untuk kegunaan pembangunan dan meningkatkan infrastruktur sosial.

GST dilaksanakan bagi menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan sebanyak 16 peratus yang diguna pakai sebelum pelaksanaan GST.

Artikel Lain