suria

Kerajaan Sasar 80,000 Peserta B40 Tambah Pendapatan Menjelang 2018

KUALA LUMPUR: Kerajaan mensasarkan 80,000 peserta golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dapat menambahkan pendapatan terkumpul mereka berjumlah RM230 juta menjelang 2018 melalui pelaksanaan Program eRezeki.

Program eRezeki yang memberi fokus untuk mempercepatkan pendapatan penyertaan B40 dalam ekonomi digital dengan meningkatkan pendapatan tambahan melalui cara digital, terutamanya peluang yang ditawarkan oleh model 'crowdsearching', menurut Laporan Ekonomi 2015/2016.

Di bawah program ini, B40 yang merupakan golongan yang berpendapatan isi rumah bulanan kurang daripada RM2,300 sebulan, akan diprofil, dilatih dan dinilai keupayaan mereka untuk melaksanakan tugas-tugas digital mikro di pasaran tempatan dan antarabangsa.

Antara aktiviti utama yang dijalankan di bawah program ini ialah eRezeki Outreach yang merupakan program jangkauan yang disasarkan melalui rakan saluran seperti pemimpin masyarakat, persatuan, universiti dan kolej, yayasan dan kerajaan negeri, dan perekrutan pekerja digital bagi proses melatih, menilai dan melayakkan B40 untuk menjadi pekerja digital, dan sedang dijalankan terutamanya di Pusat eRezeki.

Selain Digital Worker On-Boarding: Intership yang merupakan tempoh eksperimen di mana pekerja B40 berkelayakan yang memerlukan bimbingan akan dipantau dalam tempoh masa tertentu sehingga mereka mampu melakukan dan menyampaikan kualiti kerja yang baik.

Setakat 30 Sept lepas, bilangan peserta yang berdaftar ialah seramai 18,000 orang di lima buah pusat eRezeki, dan daripada jumlah itu 9,500 peserta dapat meningkatkan pendapatan keseluruhan mereka kepada RM7.5 juta.

Untuk tahun depan, disasarkan seramai 20,000 peserta dapat meningkatkan pendapatan mereka kepada RM33 juta, manakala bagi tahun 2017, bilangan B40 terus meningkat kepada 40,000 peserta dengan jumlah pendapatan tambahan sebanyak RM80 juta.

Menurut laporan itu, program ini dijangka melatih 35,000 peserta B40 pada tahun 2018.

Untuk permulaan, Pusat eRezeki ini sedang diwujudkan di lokasi yang strategik iaitu di Alor Setar, Kuantan, Kuala Terengganu dan Kuala Lumpur bagi menangani cabaran teknologi yang dihadapi golongan B40.

Kini terdapat kira-kira 2.7 juta rakyat terdiri daripada nelayan, kerani, pemandu dan sebagainya yang dikenal pasti sebagai golongan B40. -- Bernama


B40, eRezeki, Laporan Kewangan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain