suria

Pemandu Teksi Cadang Tubuh Kesatuan, Dakwa Terjejas Dengan Uber, GrabCar

KUALA LUMPUR: Sekumpulan pemandu teksi di Lembah Klang, yang mendakwa terjejas akibat kewujudan perkhidmatan teksi dalam talian seperti GrabCar dan Uber, bercadang menubuhkan sebuah kesatuan bagi membela nasib semua pemandu teksi di negara ini.

Cadangan tersebut diusulkan oleh peguam, R. Kengadharan pada majlis perjumpaan bersama 600 pemandu teksi di sebuah restoran di Sentul, di sini Rabu.

Kesemua pemandu itu mendapatkan khidmat Kengadharan untuk memfailkan tuntutan saman terhadap Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang didakwa gagal menghalang aplikasi teksi dalam talian itu menawarkan perkhidmatan teksi alternatif kepada orang ramai.

Dalam perjumpaan hampir tiga jam itu, pemandu teksi bersetuju dengan saranan Kengadharan untuk menubuhkan kesatuan bagi memperjuangkan hak dan kepentingan mereka serta memudahkan urusan dengan pihak berkuasa.

"Oleh kerana pihak kerajaan dan SPAD dilihat tidak memandang serius terhadap nasib pemandu teksi, sudah sampai masanya perkara ini perlu difailkan di mahkamah," katanya pada sidang media selepas perjumpaan tersebut.

Beliau berkata, cadangan penubuhan kesatuan itu akan diuruskan oleh pemandu teksi itu sendiri dengan menyasarkan keahlian melebihi 50,000 anggota dari seluruh negara.

Kengadharan turut mencadangkan agar SPAD mendapatkan perintah larangan  daripada mahkamah bagi menyekat operasi GrabCar dan Uber atau mana-mana pengusaha teksi sapu daripada menawarkan perkhidmatan teksi kepada orang awam.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Transformasi Pemandu Teksi 1Malaysia (PERS1M), Kamarudin Mohd Hussain berkata, pemandu teksi di Lembah Klang akan mengadakan perhimpunan aman 'Perhimpunan Rombak SPAD' pada 18 November ini.

"Perhimpunan ini bertujuan mendapat perhatian kerajaan agar merombak SPAD supaya mereka lebih prihatin dalam menjaga kebajikan dan hak pemandu teksi," katanya. 

Katanya, pihaknya akan memohon permit untuk perhimpunan itu yang dirancang bermula 10 pagi di satu lokasi yang akan ditetapkan kemudian.

Menurutnya lebih 6,000 pemandu dijangka menyertai perhimpunan itu dengan berkumpul di tiga lokasi iaitu di Padang Merbok, Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Kompleks Kraf Kuala Lumpur di sini sebelum menuju ke lokasi perhimpunan.

teksi, SPAD

Artikel Lain