suria

Perkauman Bercanggah Dengan Prinsip Islam - SIS

PETALING JAYA: Sisters In Islam (SIS) mengkritik Tan Sri Annuar Musa yang berpandangan bahawa perkauman mengikut Islam adalah dibenarkan.

NGO wanita Islam itu berkata, menggunakan agama untuk menghasut perkauman bukan sahaja bercanggah dengan prinsip Islam, tetapi juga boleh memecah belahkan masyarakat.

"Nabi Muhammad (SAW) telah diutuskan kepada orang-orang musyrik di Mekah kerana mereka mengamalkan bentuk perkauman melampau, yang membawa kepada pergaduhan sesama suku, penindasan golongan lemah, dan diskriminasi terhadap wanita dan kanak-kanak.

"Islam tiba untuk menghapuskan segala bentuk penindasan berdasarkan perkauman," kata SIS dalam satu kenyataan pada Isnin.

Annuar, yang merupakan ahli Majlis Tertinggi Umno, didakwa memberitahu orang ramai di perhimpunan 'baju merah' Rabu lepas bahawa perkauman dibenarkan selagi ia berasaskan kepada Islam.

Perhimpunan, di tengah-tengah Kuala Lumpur pada Hari Malaysia dianjurkan sebagai tindak balas kepada Bersih 4 dan berbaur perkauman apabila peserta melaungkan slogan dan kata-kata menghina kaum lain.

Memetik hadis Nabi, SIS berkata bahawa mereka yang mengamalkan atau menggalakkan perkauman akan mati dalam keadaan 'jahiliyah'.

NGO itu juga mengkritik ucapan Annuar di perhimpunan itu sebagai 'tidak wajar bagi seorang bekas menteri' dan mendakwa ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan bahawa semua orang adalah sama di bawah undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata.

"Peruntukan ini adalah istimewa kerana ia berpegang kepada prinsip-prinsip kesaksamaan bukan sahaja kepada rakyat Malaysia, tetapi sesiapa sahaja yang tinggal di Malaysia tanpa mengira kaum dan agama," katanya sambil menambah ucapan berapi-api bertujuan untuk mengganggu keharmonian kaum perlu dibendung.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Sarawak Kini Iktiraf UEC

Artikel Lain