suria

Ismail Sabri Nafi Biayai Peserta 'Baju Merah'

Ismail Sabri Yaakob.

PETALING JAYA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menafikan telah memberikan sejumlah bayaran kepada peserta himpunan 'baju merah' pada 16 September lalu, sebaliknya menjelaskan beliau hanya cuba membantu sekumpulan warga emas yang dikatakan ditipu oleh seorang pemandu bas.

Menjawab klip video berdurasi tiga minit yang menunjukkan beliau membayar kepada peserta, yang kini menjadi viral, Ismail yang Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, beliau bertemu dengan kumpulan yang datang untuk mendapatkan bantuan.

Beliau berkata, kumpulan dari Gopeng itu ditipu oleh pemandu bas yang didakwanya telah meminta bayaran tambahan.

"Saya dalam perjalanan untuk bertemu dengan para penyokong saya dari Bera apabila mereka ini datang bertemu saya untuk mendapatkan bantuan.

"Mereka kata kumpulan yang majoritinya adalah warga emas telah ditipu oleh pemandu bas," kata Ismail kepada The Star Online.

Ismail menegaskan tiada unsur rasuah kerana beliau hanya membantu untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi kumpulan itu.

"Saya kemudiannya dimaklumkan bahawa operator bas itu akan bertemu dengan kumpulan tersebut dan selesaikan masalah. Saya beredar tidak lama selepas itu," katanya.

Ismail membidas mereka yang mendakwanya memberi rasuah kepada para penyokong.

"Mereka yang tuduh saya dengan perkara seperti ini tak ada Tuhan. Jika mereka ada Tuhan, mereka tak akan fitnah orang," katanya.

Perhimpunan yang dikenali sebagai Himpunan Rakyat Bersatu menyaksikan ribuan peserta berhimpun di Padang Merbok bagi membantah perhimpunan Bersih 4.0.

Ismail Sabri Yaakob, baju merah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain