suria

Hormati-Menghormati Mesej Utama Himpun 16 - Najib

Najib Tun Razak.

KUALA LUMPUR: Himpunan Rakyat Bersatu menunjukkan bahawa keharmonian kaum perlu sentiasa dipelihara untuk memastikan keamanan negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata setiap masyarakat perlu saling menghormati atau berisiko menyakiti perasaan antara satu sama lain.

"Orang Melayu juga boleh menunjukkan bahawa mereka bersatu apabila maruah mereka disakiti dan kepimpinan mereka dihina.

"Menghormati antara satu sama lain adalah mesej utama Himpunan Rakyat Bersatu," katanya ketika berucap pada Himpunan Silat Pesaka Merdeka 2015, malam Jumaat.

Pada majlis itu, Najib turut mengumumkan bahawa silat diisytiharkan sebagai seni mempertahankan diri rasmi negara.

Najib turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada peserta perhimpunan baju merah kerana mematuhi undang-undang apabila berhimpun di Padang Merbok pada Rabu lalu.

"Pada perhimpunan itu, beberapa kedai di Bukit Bintang ditutup dan Kuala Lumpur menjadi lengang.

"Ada juga menyangka akan berlaku pertumpahan darah antara kaum.

"Namun, pihak polis memberitahu saya bahawa orang Melayu menghormati undang-undang dan boleh berhimpun secara aman.

"Rakyat tidak perlu bimbang kerana tidak ada sepanduk yang menghasut ketegangan kaum, tiada gambar keris dengan darah atau tindakan memijak gambar pemimpin pembangkang," katanya.

Najib berkata rakyat perlu terus menyokong kerajaan yang dipilih menerusi sistem demokrasi.


 

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain