suria

Jerebu: Syarikat Malaysia Disiasat Pihak Berkuasa Indonesia

Anggota tentera berusaha memadamkan kebakaran di hutan di Sumatera Selatan, Indonesia pada Rabu. Foto EPA

JAKARTA: Sebuah syarikat Malaysia merupakan antara lebih 20 syarikat yang disiasat oleh pihak berkuasa Indonesia berhubung pembakaran hutan terbuka di negara itu sehingga mengakibatkan masalah jerebu kepada sebahagian besar Asia Tenggara.

Menteri Perhutanan dan Alam Sekitar, Siti Nurbaya berkata, jerebu yang semakin teruk di utara Indonesia, negara jiran Singapura dan sebahagian Malaysia menyebabkan beberapa sekolah terpaksa ditutup dan jadual penerbangan terjejas pada minggu ini.

Kerajaan Indonesia mengarahkan tindakan tegas dikenakan terhadap pihak yang membuat pembakaran bagi membersihkan hutan.

"Terdapat satu (syarikat) dari Malaysia yang merupakan antara yang sedang disiasat," kata Siti Nurbaya kepada pemberita tanpa mengulas lanjut.

"Kita masih sedang membuat pemeriksaan sekiranya terdapat mana-mana (syarikat) dari Singapura." 

Presiden Indonesia, Joko Widodo mengarahkan pasukan keselamatan pada Isnin lalu untuk mempercepatkan usaha-usaha untuk memadamkan kebakaran dan membatalkan permit tanah terhadap syarikat-syarikat yang didapati bertanggungjawab.

Menurut agensi pengurusan bencana di negara itu, hampir 3,000 anggota tentera dan polis, 17 helikopter dan empat pesawat pembenihan awam telah digerakkan bagi menangani masalah kebakaran. - Reuters

jerebu

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain