suria

Kali Pertama Baitullah Di Depan Mata

ASSALAMUALAIKUM. Sejurus tiba di penginapan kami di Hotel Abraj Dar Al-Haramain di kawasan Ajyad pada 3 Mac 2000, semua jemaah KT44 beratur menaiki lif untuk ke bilik masing-masing.

Saya di paras empat tetapi Busu Adnan, Busu Semah dan mummy di paras lain. Umpama sebuah apartment menempatkan dua bilik, satu bilik air dan ruang dapur, semua menyusun beg di tempat yang bersesuaian. Ruang bilik besar dan tidak ada masalah untuk menempatkan bagasi kami yang rata-ratanya besar.

Di bilik saya ada tujuh jemaah manakala di bilik sebelah juga tujuh jemaah. Bayangkan 14 orang akan berkongsi satu bilik air! Sudah tentu sekali keadaan ini menuntut kesabaran dan saling memahami sesama jemaah.

Tiada katil. Hanya tilam dan sebiji bantal bakal menemani kami sepanjang kira-kira satu bulan di Tanah Suci Makkah. Saya memilih tilam yang paling hujung dan tidak terlalu jauh dari pintu bilik. Mudah saya meletakkan bagasi saya yang paling besar berbanding semua jemaah lain.  

Setelah membersihkan diri serta berwuduk, kami berkumpul semula di lobi hotel untuk menyempurnakan tawaf, saie dan tahalul. Kami memilih haji tamatuk kerana tempoh untuk berwukuf masih lagi lama.

Kami bergerak secara berkumpulan. Saya bertemu Busu Adnan, Busu Semah dan mummy di lobi hotel. Teruja dan berdebar-debar kerana bakal melangkah ke Baitullah. Tidak sabar-sabar untuk menghadap Kaabah untuk kali pertama.

Kami memasuki pintu satu iaitu King Abdul Aziz Gate. Sejurus memasukinya, sudah kelihatan Kaabah. Debaran semakin kencang sejurus  kaki semakin menghampiri kawasan dataran Baitullah.

Hati mulai sebak, air mata tidak mampu dikawal sejurus memijak dataran Kaabah. Besar! Cantik! Detik hatiku sejurus melihat Kaabah buat kali pertama. Allahu Akbar. Tidak sangka di Kaabah di depan mata.

“Kita tawaf umrah selepas itu saie haji,” pesan Busu Adnan.

“Baiklah,” jawab saya.

Busu Semah dan mummy mengikut sahaja setiap langkah Busu Adnan, apatah lagi saya yang baru kali pertama diundang sebagai tetamu Allah untuk mengerjakan rukun Islam kelima. Ke mana sahaja mereka pergi, saya turut. Masjidil Haram serba indah menyebabkan saya jatuh cinta dan tidak mampu melupakannya.

Selesai tawaf tujuh pusingan, kami menunaikan solat sunat dua rakaat dan berdoa di belakang Makam Nabi Ibrahim. Saya membaca buku panduan yang dibekalkan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) dan selepas itu berdoa.

Doa yang panjang diiringi tangisan. Tanpa saya sedari Busu Semah dan mummy di kiri dan kanan saya. Mereka memegang bahu saya.

“Ana…Ana… dah…kita pergi tempat saie pula,” ujar kedua-duanya.

Tidak sepatah perkataan keluar daripada mulut saya. Hanya air mata yang berlinangan mengiringi doa dilafazkan. Busu Semah dan mummy kemudiannya menepuk-nepuk bahu dan lengan saya. Hati saya begitu sayu ketika itu. Terbit perasaan yang sungguh hiba. Hanya Allah SWT yang lebih mengetahui.

Tiba di Safa, Busu Adnan mengingatkan agar membaca niat saie umrah di Bukit Safa. Perjalanan dimulakan di Bukit Safa dengan melambai ke arah Kaabah dan menyebut Bismillahi Allahu Akbar.

Ketika itu, dari tempat saie jelas kelihatan Kaabah kerana tiada pembangunan pesat pembesaran Masjidil Haram ketika itu. Kaki melangkah di kawasan Safa untuk pusingan pertama. 

Saya berjalan bersama-sama mummy, manakala Busu Adnan pula dengan Busu Semah. Kawasan saie agak dingin kerana ada penghawa 
dingin dan kipas. Saya memerhati setiap sudut. Banyak pintu di sebelah kanan kawasan Safa, termasuk pintu Bab As-Salam. 

Jemaah cukup ramai di situ. Jemaah lelaki berlari-lari anak di kawasan lampu hijau. Jemaah berkerusi roda pula di bahagian tengah-tengah. Tempat saie tidak lebar seperti sekarang dan hanya setingkat. Jam dan lampu yang tergantung mencuri pandangan.

‘Baca doa di dalam buku panduan haji,” pesan mummy.

“Baiklah mummy,” balas saya ringkas.

Melalui buku panduan ibadat haji, setiap pusingan tawaf dan perjalanan saie ada doa yang boleh dibaca oleh jemaah. Biarpun tidak wajib tetapi terasa rugi jika tidak membacanya kerana buku sudah dibekalkan dan ketika saie, pelbagai doa boleh dilafazkan.

Setiap kali tiba di Bukit Safa atau Marwah, kami berdoa. Selesai tujuh kali ulang alik di antara kedua-dua bukit itu, kami bertahalul di belakang Bukit Marwah. Doa turut dilafazkan apabila menggunting helaian rambut dan sebelum membuangnya ke dalam tong sampah yang disediakan di bahagian belakang.

Selesai umrah, kami pulang ke penginapan untuk berehat. Sementara menunggu hari wukuf, jemaah dinasihatkan agar tidak terlalu banyak mengerjakan umrah kerana perlu ‘simpan’ tenaga untuk menyempurnakan ibadat haji.

Justeru, ramai yang akan bersolat jemaah dan menunaikan tawaf sunat selain menjaga kesihatan diri menjelang waktu wukuf. Begitu juga saya. Namun,sebelum wukuf, tekak saya mula terasa perit dan hidung mula berair.

“Ana tak berapa sihatlah kak. Ana nak pergi klinik sekejap,” ujar saya pada rakan sebilik.

Saya ke klinik LTH yang terletak bersebelahan Darl Al-Haramain. Bangunan itu sangat sibuk kerana turut menempatkan kaunter wang LTH. Saya terus masuk ke klinik dan sejurus bertemu doktor, saya maklumkan sudah mengambil ubat sakit tekak tetapi tidak berkesan.

“Awak kena ambil antibiotik. Tekak pun merah dan dah bengkak. Demam sikit,” ujar doktor yang memeriksa saya.

Saya kembali semula ke penginapan dan terus mengambil ubat-ubatan yang dibekalkan. Tengah hari itu saya tidak menunaikan solat Zuhur berjemaah kerana badan terasa lemah. Alhamdulillah, esoknya saya sihat semula dan tidak melepaskan peluang untuk menunaikan solat berjemaah di Masjidil Haram.

Pada masa yang sama, saya turut menamam niat untuk bertemu nenek dan ibu saudara saya dari Singapura yang turut mengerjakan haji. ibu memaklumkan kepada saya bahawa mereka tinggal di Hotel Makkah yang terletak hanya 50 meter dari Masjidil Haram.

Pada suatu pagi selesai sarapan, saya berjalan sendirian di perkarangan masjid dan apabila bertemu pegawai LTH saya bertanya kedudukan Hotel Makkah dan beliau memaklumkannya kepada saya. 

Sejurus tiba di lobi Hotel Makkah, saya memerhati persekitarannya.

“Assalamulaikum…” ucap saya pada seorang jemaah.

“Waalaikumsalam,” balas jemaah berkenaan.

“Jemaah Shahidah Travel duduk di sini ke?” tanya saya.

“Ye betul. Kenapa?” balas beliau.

“Saya mencari ibu saudara dan nenek saya,” ucap saya lagi.

“Siapa nama mereka?” tanya beliau pula.

“Zakiah ibu saudara saya dan Hawa nenek saya,” jawab saya.

“Tunggu sekejap. Saya panggil pegawai Shahidah Travel,” balas beliau.

Sejurus bertemu pegawai agensi pelancongan itu, saya maklumkan kepada beliau dan pegawai itu terus mengarahkan saya supaya naik ke paras sembilan yang menempatkan bilik ibu saudara dan nenek saya. 

Oleh kerana terlalu gembira, saya terlupa hendak bertanya nombor bilik mereka pada waktu itu. Saya terus menekan lif dan naik ke tingkat sembilan. Rezeki menyebelahi saya. Sejurus pintu lif terbuka dan saya memasuki ruang lapang di depan sekitar bilik jemaah, nama saya dipanggil.

“Eh Ana...Alhamdulillah jumpa Ana…” ujar ibu saudara saya Zakiah.

Saya salam dan memeluk beliau lantas bertanya nenek saya.

“Nenek ada dalam bilik. Tengah makan,”  ujar beliau gembira.

Sejurus memasuki bilik 912 yang menempatkan ibu saudara, nenek dan tiga lagi jemaah, saya mendakap nenek saya. Nenek turut gembira dan kami tidak henti-henti bercerita.

“Ana duduk mana?” tanya nenek.

“Jauh dari sini nenek. Hotel nenek dekat je nak pergi masjid. Tempat Ana dalam 15 minit jalan kaki. ” balas saya.

 “Ana duduk sini sahajalah dengan nenek. Tidur dengan nenek,” pinta nenek.

“Tak bolehlah. Tempat Ana pun ok jugak cuma taklah dekat macam hotel nenek dukuk ni,” jawab saya.

“Boleh duduk sini saja. Tidur dengan nenek,” pujuk nenek berkali-kali sehingga serba salah saya jadinya.

“Tak mengapalah nenek. Ana datang tengok nenek hari-hari. Tak lama lagi kita nak wukuf dah,” ujar saya lagi.

“Tidur sinilah. Temankan nenek,” pujuk nenek terus.

Saya serba salah. Ibu saudara pula bertanya pada Pengarah Urusan Shahidah Travel, Haji Ayoob bolehkah saya tidur di Hotel Makkah kerana nenek saya begitu inginkan saya tidur bersama-samanya. Saya mengikut ibu saudara bertanya Haji Ayoob dan beliau mengizinkan saya tidur dan makan di hotel berkenaan.

“Alhamdulillah. Terima kasih banyak haji,” ujar saya dan ibu saudara.

Saya pulang semula ke bilik hotel 912 dan nenek kelihatan begitu gembira setelah dimaklumkan Haji Ayoob membenarkan saya tidur dan makan di hotel berkenaan. Namun, pada hari itu, iaitu tanggal 11 Mac 2000 bersamaan 5 Zulhijah 1420 Hijrah, saya pulang ke Dar Al-Haramain.

“Esok Ana datang lagi tengok nenek. Tidur dengan nenek. Malam ni kena balik hotel untuk ambil baju dan maklumkan pada jemaah sebilik,” ujar saya pada nenek.

Nenek menganguk dan saya bersalam dan memeluk nenek sebelum pulang semula ke Dar Al-Haramain ditemani ibu saudara dan kak Jah (teman sebilik ibu saudara dan nenek). Untuk dua malam saya tidur di Hotel Makkah bersama-sama nenek. Beliau amat gembira kerana kami ke masjid bersama-sama dan berbelanja di bazar berhampiran.



Pada 14 Mac 2000 bersamaan 8 Zulhijah 1420 Hijrah, selesai solat Subuh dan bersarapan di Hotel Makkah bersama-sama nenek dan ibu saudara, saya pulang semula ke Dar Al-Haramain untuk persiapan ke Arafah yang dijadualkan pada jam 4 petang.

Satu lagi pengalaman baru dalam hidup yang ditunggu-tunggu kerana wukuf di Arafah adalah rukun haji yang perlu disempurnakan. Ikuti catatan saya pada minggu hadapan, insyaAllah.


Artikel Lain