suria

Hari Yang Menjengkelkan, Memalukan Negara - Azmin

Azmin Ali
PETALING JAYA: Menteri Besar Selangor Azmin Ali melahirkan rasa kecewanya terhadap himpunan baju merah yang diadakan pada hari yang sepatutnya disambut oleh rakyat Malaysia dari semua lapisan masyarakat.

Katanya, adalah sesuatu yang memalukan dan menjengkelkan negara apabila ribuan peserta baju merah berkumpul untuk 'menghasut kebencian terhadap kaum-kaum lain, khususnya Cina'.

“Ini adalah hari yang seharusnya rakyat bersama bergandingan seperti disambut di Taman Tasik Shah Alam bagi menunjukkan perpaduan, keamanan, saling menghormati dan berkasih sayang.

“Tiada perkataan dapat menggambarkan betapa meluat dan malunya saya melihat orang Melayu dengan baju merah, lelaki dan perempuan melaung slogan serta ekspresi perkauman,” katanya dalam satu kenyataan media, Khamis.

Azmin kemudian mempersoalkan rasional Umno menyokong demonstrasi seperti itu, yang menurutnya bertujuan untuk menyemai rasa takut terhadap kaum lain.

“Adakah ini idea terbaik Umno mengembalikan maruah Melayu dengan menggerakkan ribuan peneroka Felda dan ahli parti serta membiarkan mereka seperti perusuh untuk menghina orang lain?

“Adakah ini idea terbaik Umno menunjukkan sokongan kepada Perdana Menteri dengan mengeluarkan kenyataan anti Cina, sentimen anti DAP dan provokasi di Low Yat dan Jalan Petaling?

“Dengan mengatakan sentimen perkauman itu selaras dengan ajaran Islam, Umno sebenarnya mencalar maruah Islam dan Melayu,” katanya.

Pada Rabu, beribu-ribu peserta baju merah membanjiri Kuala Lumpur untuk menunjukkan perpaduan Melayu dan menghantar mesej bantahan terhadap perhimpunan Bersih 4 yang diadakan pada 29-30 Ogos.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain