suria

Lima Suspek Terlibat Rusuhan Bola Sepak Ditahan

SHAH ALAM: Lima lelaki termasuk dua beradik ditahan kerana disyaki terlibat dalam insiden rusuhan bola sepak semasa perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 antara Malaysia dan Arab Saudi di Stadium Shah Alam, 8 September lepas.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Shafien Mamat berkata kesemua suspek berusia 24 dan 33 tahun itu ditahan dalam serbuan berasingan di sekitar Shah Alam, Banting dan Klang.

"Dua suspek telah ditahan petang tadi manakala tiga lagi ditahan petang semalam.

"Antara yang ditahan itu merupakan adik-beradik yang dikenali sebagai 'Tok Anjang' dan 'Shap' yang disyaki turut menjadi perancang utama insiden berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini, Rabu.

Beliau berkata kesemua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut dan akan disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Perlawanan Malaysia menentang Arab Saudi itu terpaksa dihentikan pengadil, Liu Kwok Man daripada Hong Kong berikutan tindakan liar sekumpulan penonton tempatan.

Tindakan penyokong membaling suar dan bom asap ke padang mengakibatkan perlawanan tersebut dihentikan pada minit ke-88 ketika pelawat sedang mendahului 2-1.

Artikel Lain