suria

Bacaan IPU Di Pontianak Cecah Lebih 1,000

JAKARTA: Pencemaran udara di Kota Pontianak, Kalimantan Barat kini dilaporkan sangat tidak sihat dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) telah mencecah lebih daripada 1,000 pada pukul 2 petang Rabu.

Menurut laman web Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofiska www.bmkg.go.id  setakat ini pencemaran udara di kota itu adalah yang terburuk di seluruh Indonesia.

Bagaimanapun, pihak berkuasa tempatan di kota itu masih belum mengisytiharkan darurat seperti yang berlaku di Riau, Selasa.

Pencemaran udara di Pekanbaru, Riau dilaporkan semakin menurun walaupun masih berada di tahap sangat tidak sihat dengan bacaan IPU antara 250 dan 300 pada petang ini.

Menurut laporan televisen tempatan Metronews, beberapa saksi memberitahu jarak penglihatan di beberapa kawasan Pontianak tidak sampai 100 meter dan kebanyakan penduduk hanya tinggal di rumah.

Jerebu di kawasan itu berpunca daripada kebakaran hutan dan ladang di beberapa kawasan di Kalimantan Barat dan ia juga dilaporkan telah merebak ke Malaysia dan Singapura.

Pasukan Tentera Nasional Indonesia sedang membantu memadamkan kebakaran hutan di wilayah itu.--Bernama


Pontianak, IPU, jerebu

Artikel Lain