suria

Penganjur Bersih Akan Saman Jika Dikenakan Kos Pembersihan RM65,000

Pekerja membersihkan jalan selepas perhimpunan Bersih 4.0 diadakan dekat Dataran Merdeka.

PETALING JAYA: Penganjur perhimpunan Bersih 4.0 akan membawa Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan ke mahkamah sekiranya mereka dikenakan caj kos pembersihan sebanyak RM65,000.

Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah berkata, kenyataan kementerian itu amat mengecewakan kerana sukarelawan mereka terpaksa menunggu untuk membersihkan sampah selepas perhimpunan tersebut berakhir pada hujung minggu lalu.

"Jika dia ada di sana, dia akan tahu betapa gigihnya sukarelawan kami bekerja untuk membersihkan segala sampah sarap," katanya.

Menurut Abdul Rahman, Bersih bakal berdepan dengan bil pembersihan itu dan menggesa mereka untuk tidak membelanjakan kesemua RM1.5 juta yang mereka berjaya kumpulkan untuk perhimpunan tersebut.

Maria berkata, beliau akan mendapatkan khidmat nasihat guaman sekiranya pihak kementerian berhasrat mahu mengenakan caj sebanyak itu kepada mereka.

"Jika dia mahu buat, tiada apa yang saya boleh lakukan. Kita akan dapatkan khidmat nasihat guaman," katanya sambil menambah bahawa ia bermakna perkara berkenaan akan dibawa ke mahkamah.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Bersih 2.0, Sarajun Hoda Abdul Hassan menafikan jalan-jalan di Kuala Lumpur dikotori dengan sampah sarap selepas perhimpunan itu.

Beliau berkata, pihak mereka telah berusaha bagi memastikan jalan-jalan adalah bersih semasa dan selepas perhimpunan diadakan.

"Kami mempunyai gambar-gambar yang menunjukkan kami telah membersihkan kawasan itu dengan ribuan sukarelawan.

"Anda boleh tanya sesiapa yang menyertai perhimpunan itu bahawa kesemuanya memberikan kerjasama," katanya.

Sarajun berkata, ia bukan kali pertama Bersih dikenakan 'bil pembersihan'.

"Mereka pernah hantar bil kepada kami sebelum ini tetapi mereka tidak dapat mempertahankan penyerahan bil mereka. Bila peguam kami menulis kepada mereka, mereka senyap.

"Sebelum kami menamatkan perhimpunan, kami juga telah membuat pengumuman supaya peserta mengutip sampah.

"Saya tak tahu apakah tujuan bil tersebut hendak dikenakan ke atas kami," katanya lagi.

Artikel Sebelum

Artikel Lain