Bersih 4.0 Lengkapkan Demo 34 Jam - Semasa | mStar

Bersih 4.0 Lengkapkan Demo 34 Jam

KUALA LUMPUR: Menjelang kemuncak perhimpunan Bersih 4.0 di perkarangan Dataran Merdeka, ribuan peserta terus membanjiri hampir keseluruhan jalan dan lorong di kawasan sekitar di sini.

Sejak pukul 9.30 malam Ahad, jumlah peserta perhimpunan gergasi itu semakin bertambah dari masa ke masa bagi menantikan sambutan ambang merdeka anjuran Bersih 4.0.

Jumlahnya dilihat begitu luar biasa dengan 'mood' peserta masih dalam keadaan bersemangat menanti detik 12 tengah malam.

Tepat pukul 12 tengah malam, peserta Bersih 4.0 melaungkan laungan 'merdeka' diikuti dengan nyanyian Negaraku dengan penuh bersemangat.

Lebih mengujakan apabila kumpulan 'orang kuning' itu akhirnya mencatat rekod mengadakan perhimpunan jalanan paling lama iaitu selama 34 jam bermula pukul 2 petang Sabtu.

Keseluruhan jalan disepanjang jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Tun Perak serta persimpangan jalan Raja, Jalan Parlimen dan Jalan Raja Laut dipenuhi lautan manusia.

Tinjauan di hadapan Masjid Jamek juga didapati begitu sesak dengan kehadiran peserta Bersih 4.0.

Bagaikan karnival jalanan, peserta yang hadir bersorak, menyanyi, melaungkan kata-kata semangat berselang-seli dengan tiupan vuvuzela hingga mencetuskan bunyi bising.

Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah berkata, beliau berpuas hati dan menyifatkan perhimpunan Bersih 4.0 bagi edisi 2015 berlangsung dengan jayanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada anggota keselamatan yang memberi kerjasama penuh bagi membantu menjayakan perhimpunan aman tersebut.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajuddin Md Isa berkata perhimpunan tersebut berakhir tanpa sebarang insiden kekecohan.

Beliau turut berpuas hati dengan kerjasama peserta Bersih 4.0 yang sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa sepanjang perhimpunan tersebut.

"Anggota kami sentiasa memantau dengan dekat perkembangan perhimpunan bagi memastikan ianya berlangsung denga baik dan aman

"Walaupun terdapat beberapa insiden kecil, namun polis berjaya menanganinya dengan baik untuk kepentingan semua pihak," katanya ketika dihubungi. 

demo 34 jam , bersih 4.0

Artikel Sebelum

Lebih Artikel