suria

Mahkamah Persekutuan Tangguh Keputusan Rayuan Khir Toyo Ke 22 Sept

Dr Mohamad Khir Toyo.

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini Khamis menangguhkan ke 22 September untuk membuat keputusan terhadap rayuan bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo kerana beliau kini menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Panel lima hakim diketuai Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin membenarkan permohonan dibuat peguam mewakili bekas menteri besar itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bagi mahkamah menyampaikan keputusan pada tarikh lain.

"Kami sudah bersedia menyampaikan penghakiman dan alasan penuh penghakiman selepas beberapa bulan kami mendengar rayuan itu.

"Memandangkan Dr Khir Toyo tidak dapat hadir, saya fikir kami tidak akan menyampaikan keputusan hari ini dan kami menangguhkannya tiga minggu dari sekarang," kata Hakim Zulkefli.

"Kami berharap perayu akan sembuh dan berdoa semoga beliau kembali sihat," kata beliau.

Terdahulu, Muhammad Shafee memberitahu mahkamah bahawa Dr Khir Toyo tidak dapat hadir di mahkamah pada Khamis kerana beliau dimasukkan ke IJN dan dijadual menjalani rawatan angiogram pada 5 petang Khamis.

Beliau berkata Dr Khir Toyo, 50, rebah semasa berjoging pada Rabu, dan saluran jantungnya disyaki tersekat.

Muhammad Shafee juga mengemukakan laporan doktor kepada mahkamah. 

Katanya, Seksyen 314 Kanun Prosedur Jenayah menyatakan bahawa jika perayu tidak hadir di mahkamah, maka mahkamah tidak harus mengeluarkan apa-apa perintah tetapi perlu menangguhkan prosiding.

Beliau berkata, Dr Khir Toyo perlu hadir di mahkamah sekiranya mahkamah membuat keputusan yang tidak memihak kepadanya kerana proses rayuan masih berjalan.

Beliau berkata, ini kerana Dr Khir Toyo mempunyai hak untuk mendengar semasa proses menjatuhi hukuman dan merayu supaya hukuman diringankan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Masri Daud berkata, mahkamah masih boleh mengumumkan keputusan tanpa kehadiran Dr Khir Toyo sambil merujuk kes anggota Unit Tindakan Khas Koperal Sirul Azhar Umar yang tidak hadir apabila Mahkamah Persekutuan menyampaikan keputusannya. Sirul Azhar dilaporkan lari ke Australia pada hari keputusan disampaikan.

Terdahulu, Muhammad Shafee turut memaklumkan mahkamah bahawa anak guamnya dijangka berada di wad selama beberapa hari dan keadaannya dipantau oleh doktor bagi tempoh beberapa minggu akan datang.

Hakim Zulkefli kemudian berkata "kebanyakan kami pernah menjadi pesakit di IJN, tetapi itu tidak bermakna kami tidak hadir untuk bekerja, ini adalah pemerhatian saya".

Panel itu dijadual menyampaikan keputusan pada Khamis terhadap rayuan Dr Khir Toyo terhadap sabitan dan hukuman penjara 12 bulan karana dikatakan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan tanah dan satu unit banglo.

Mahkamah Tinggi Shah Alam mendapati Dr Mohamad Khir, seorang doktor gigi, bersalah kerana mendapatkan untuk dirinya dan isterinya Zahrah Kechik, 50, dua plot tanah dan satu unit banglo di Seksyen 7, Shah Alam daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarahnya Datuk Shamsuddin Hayroni.

Bekas Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Panjang itu gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan pada 30 Mei, 2013.

Dr Khir Toyo dituduh melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, Shah Alam,  pada 29 Mei, 2007.

Sementara itu, di luar mahkamah, Muhammad Shafee memberitahu pemberita bahawa Dr Khir Toyo berada dalam keadaan sihat apabila datang ke pejabatnya pada Selasa tetapi beliau (Muhammad Shafee) kemudian diberitahu semalam bahawa anak guamnya rebah selepas berjoging.

Dr Mohamad Khir Toyo

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain