suria

Jawi Gagal Merayu Kes Rampasan Buku Irshad Manji

PUTRAJAYA: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) gagal mendapat kebenaran merayu berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan rampasan buku kontroversi karangan Irshad Manji dari kedai buku Borders, tidak sah di sisi undang-undang.

Panel tiga hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria yang bersidang bersama Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Tan Sri Ahmad Maarop sebulat suara menolak permohonan ketiga-tiganya untuk mendapat kebenaran merayu.

Dengan keputusan itu, tindakan pegawai Jawi menyerbu, menggeledah dan merampas buku berjudul Allah, Kebebasan dan Cinta dan Allah, Liberty and Love pada 23 Mei 2012 di Borders, The Gardens Mall, Mid Valley City di ibu negara, tidak sah.

Permohonan itu ditolak atas alasan tiga persoalan undang-undang yang dikemukakan perayu tidak memenuhi syarat yang ditetapkan mengikut Seksyen 96 (a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Seksyen itu menyebut bahawa perayu perlu menunjukkan bahawa persoalan yang dikemukakannya untuk diputuskan Mahkamah Persekutuan adalah sesuatu yang baharu.

"Keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan telah mencetuskan isu penting dari segi undang-undang. Kami tidak kata keputusan itu betul atau terkhilaf," kata Arifin yang bersidang bersama-sama hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Tan Sri Ahmad Maarop.

Terdahulu, Arifin mempersoalkan bagaimanakah mahkamah itu boleh mengadakan prosiding untuk membuat keputusan tentang persoalan undang-undang sedangkan tiada tuduhan dikenakan terhadap pengurus besar barangan Berjaya Books Sdn Bhd  Stephen Fung Wye Keong dan Nik Raina Nik Abdul Aziz, pengurus stor kedai buku Borders di The Gardens di Mid Valley City.

Nik Raina dibebaskan tanpa dilepaskan oleh mahkamah Syariah pada 26 Feb tahun ini daripada tuduhan mengedar dan menyebarkan, dengan cara menjual, buku karangan Irshad Manji bertajuk "Allah, Liberty and Love", yang dianggap bercanggah dengan ajaran Islam.

Jawi merayu terhadap keputusan itu, tetapi menariknya kembali pada 23 Jun.

Pada 23 Mei 2012, Jawi melakukan serbuan terhadap kedai buku itu serta menahan Nik Raina dan kemudian mendakwanya di Mahkamah Syariah pada 19 Jun 2012.

Pada 18 Jun 2012, Borders memohon kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman tentang kesahan serbuan yang dilakukan Jawi, proses dan pendakwaan Nik Raina sedangkan tiada larangan dikenakan terhadap penerbitan berkenaan.

Kemudian, Mahkamah Tinggi memberi kebenaran kepada Borders untuk memulakan prosiding semakan kehakiman berhubung tindakan Jawi menyerbu kedai itu dan merampas beberapa naskhah buku karangan Irshad Manji.

Pada 22 Mac tahun lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan semakan kehakiman itu bagi mengetepikan tindakan Jawi.

Pada 30 Disember tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung perkara itu.

Mahkamah Rayuan berkata tiada fatwa, perisytiharan atau pekeliling dikeluarkan Jawi atau mana-mana pihak berkuasa agama yang mengharamkan penerbitan dan penjualan buku itu ketika Jawi melakukan serbuan.

Mahkamah itu juga berkata Menteri Dalam Negeri hanya mengeluarkan perintah larangan enam hari selepas buku itu dirampas dan warta mengenainya diterbitkan pada 14 Jun 2012.

Sehubungan itu, KDN meminta orang ramai supaya tidak hadir dan menyertai perhimpunan pada hujung minggu ini yang tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa.


Jawi, Irshad Manji

Artikel Lain