suria

Polis Tahan Lima Lelaki Sabit Kes Samun, Tetak Di Setapak

Polis mencari lelaki yang dikenali Salman bagi membantu siasatan.

KUALA LUMPUR: Polis menahan lima lelaki dipercayai terbabit dengan kejadian samun dan tetak, di tiga lokasi berhampiran di sekitar Setapak pada Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata dalam tiga kejadian itu, empat individu mengalami kecederaan di tangan dan kepala akibat ditetak.

Katanya dalam kejadian kira-kira 4.50 pagi, seorang lelaki yang berjalan bersama tiga rakannya cuba disamun dua lelaki menaiki sebuah motosikal namun gagal selepas rakannya menghalang suspek.

"Bagaimanapun, rakannya itu telah ditetak menggunakan parang ketika membantu mangsa dan suspek kemudiannya melarikan diri manakala kunci motosikal suspek telah diambil oleh mangsa. 

"Dua puluh minit kemudian, dua suspek itu bersama empat lagi rakannya kembali semula ke lokasi berkenaan untuk mengambil motosikal namun tidak menemui kunci motosikal.

Suspek kemudian masuk ke kafe siber berhampiran untuk mencari mangsa serta rakan-rakannya bagi mendapatkan semula kunci motosikal tersebut.  

"Kebetulan di dalam kafe siber itu terdapat dua orang pelanggan berusia 19 dan 24 tahun...suspek kemudiannya menyamun dan menetak kedua-dua mereka sebelum melarikan telefon bimbit," katanya dalam sidang media di sini, Isnin.

Mohamad Roy berkata kumpulan suspek itu kemudiannya keluar daripada kafe siber berkenaan dan menetak seorang lagi mangsa berusia 14 tahun yang kebetulan berada di luar premis berkenaan.

Susulan itu, polis menahan lima daripada enam orang suspek berusia 18 hingga 32 tahun dalam beberapa serbuan di sekitar Danau Kota, Sabtu lepas.

"Hasil soal siasat mendapati dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau bersabit samun... kita sedang kesan seorang lagi suspek yang merupakan suspek utama dalam kejadian ini," katanya.

Beliau berkata kesemua suspek akan dilanjutkan reman sehingga Selasa dan kesdisiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan, kerana menyebabkan kecederaan.

Samun, tetak, Setapak

Artikel Lain