suria

PAS Selangor Tubuh Jawatankuasa Ambil Alih AJK Tiga Kawasan

SHAH ALAM: PAS Selangor pada Isnin mengumumkan Jawatankuasa Tadbir Sementara bagi mengambil alih pentadbiran parti itu bagi kawasan Kota Raja, Shah Alam dan Kelana Jaya susulan tindakan ahli jawatankuasa (AJK) bagi tiga kawasan berkenaan meletakkan jawatan mereka minggu lalu.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, pihaknya diberi mandat oleh PAS Pusat sebagaimana yang diperuntukkan oleh Fasal 26(9)(j) Perlembagaan PAS (Pindaan 2011) telah mengambil alih pentadbiran tiga kawasan tersebut.

"Sehubungan itu, Jawatankuasa Tadbir Sementara ini berkuatkuasa untuk melaksanakan fungsi-fungsi dan tugas-tugas Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan.

"Tujuan  pengambilalihan ini untuk melicinkan proses mengisi kekosongan jawatan berdasarkan kaedah-kaedah yang diperuntukkan oleh Perlembagaan PAS (Pindaan 2011)," katanya pada sidang media di ibu pejabat PAS Selangor di sini, Isnin.

Minggu lalu, barisan kepimpinan AJK PAS Kota Raja, Shah Alam dan Kelana Jaya mengosongkan jawatan masing-masing bagi menyertai parti baharu yang diasaskan oleh Gerakan Harapan Baru (GHB) iaitu Parti Amanah Rakyat.

Ahmad Yunus berkata, menerusi jawatankuasa itu, ia menunjukkan bahawa perletakan jawatan ahli-ahli PAS tidak menjejaskan urusan pentadbiran dan pengurusan parti di peringkat kawasan tersebut.

"Ia juga tidak memberi kesan terhadap status pembubaran kawasan dan cawangan kerana kuasa untuk membubarkan cawangan adalah di bawah kuasa Jawatankuasa Kerja PAS Pusat," katanya.

Bagaimanapun katanya, bagi pentadbiran PAS Kawasan Kota Raja dan Shah Alam, proses perlantikan jawatan-jawatan pemangkuan dan ahli jawatankuasa kerja kawasan tersebut telah disahkan oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan.

"Pemangku Yang Dipertua PAS Kota Raja ialah Mohamed Diah Baharun dan Yang Dipertua PAS Shah Alam, Abdul Halim Omar. Jawatankuasa bagi PAS Kelana Jaya sedang dilakukan dan dijangka diputuskan pada minggu ini," kata Ahmad Yunus.

Mohamed Diah merupakan Ketua Penerangan PAS Kawasan Kota Raja manakala Abdul Halim adalah Ketua PAS Cawangan Seksyen 18, Shah Alam.

PAS, Selangor

Artikel Lain