suria

Umno Semporna Kemuka Usul Minta PM Bercuti & Pemilihan Parti Diadakan

Persiapan sedang giat dijalankan bagi menyambut kehadiran Muhyiddin untuk merasmikan mesyuarat Umno Bahagian Semporna, Sabtu.

PETALING JAYA: Selepas berhadapan situasi pemimpinnya digugurkan daripada Kabinet, Umno Bahagian Semporna akan membentangkan usul supaya pemilihan parti diteruskan tahun depan, selain meminta supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bercuti.

Sehingga kini difahamkan, semua sayap parti bahagian yang diterajui Datuk Seri Shafie Apdal yang juga naib presiden Umno itu turut mengemukakan usul yang sama pada mesyuarat perwakilan masing-masing.

Sebelum ini, Majlis Tertinggi Umno telah membuat keputusan menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan bagi semua peringkat yang dijadualkan tahun depan bagi memberi tumpuan kepada kerja-kerja untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Selain itu, usul meminta supaya Najib yang juga presiden Umno bercuti itu bakal dikemukakan pada mesyuarat perwakilan Pemuda Umno Bahagian Semporna yang akan berlangsung petang ini.

"Usul supaya pemilihan diteruskan memang konsensus Umno bahagian Semporna dan sayap.

"Bagaimanapun, soal meminta berehat dan lain-lain berkemungkinan besar akan dibawa perwakilan bahagian memandangkan sentimen yang kuat di sini," kata sumber Umno bahagian itu kepada mStar Online, Jumaat.

Persidangan Perwakilan Tahunan Umno Bahagian Semporna pada Sabtu akan dirasmikan oleh Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga bekas timbalan perdana menteri dan ketika ini, persiapan sedang giat dijalankan bagi menyambut kehadiran beliau.

Persidangan itu sepatutnya dirasmikan oleh Najib tetapi selepas Shafie digugurkan dari kabinet, ahli akar umbi di bahagian berkenaan mendesak kepimpinan bahagian membatalkan jemputan itu dan mengantikannya dengan Muhyiddin.

Muhyiddin dijangka tiba di Lapangan Terbang Tawau kira-kira jam 10.30 pagi sebelum ke Dewan Masyarakat Semporna untuk merasmikan sidang perwakilan Umno bahagian itu.

"Ini adalah kali pertama timbalan presiden dan naib presiden berkongsi pentas sama selepas pemecatan mereka dari kabinet," katanya lagi.

Berbalik kepada mesyuarat sayap bahagian itu, selain usul berkaitan pemilihan parti dan permintaan supaya perdana menteri berehat atau mengambil cuti, Pemuda Umno Bahagian Semporna juga akan turut membahaskan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Pemuda Umno Semporna mahu isu 1MDB disiasat dan dijawab dengan telus kerana ia menjejaskan imej Umno dan Barisan Nasional, selain boleh menyebabkan parti berada dalam situasi yang sukar pada Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti," kata sumber itu lagi.

Mesyuarat Pemuda Umno bahagian itu petang Jumaat ini akan dirasmikan Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairul Azwan Harun.

Terdahulu, perwakilan Wanita dan Puteri Umno bahagian itu masing-masing selesai bermesyuarat pada Khamis serta meluluskan usul berkaitan pemilihan parti.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain